Nelayan Telok Gong damba jeti baharu

Tuesday, May 1, 2018

Nelayan Telok Gong damba jeti baharu

Nelayan Telok Gong damba jeti baharu

PELABUHAN KLANG: Sejak 10 tahun Selangor ditadbir kerajaan pakatan pembangkang, tidak banyak perubahan dibawa kepada kira-kira 130 nelayan di Pengkalan Nelayan Sungai Udang, Kampung Baru Telok Gong, di sini.

Malah, kebanyakan nelayan di situ merasakan janji pemimpin pakatan pembangkang ketika mereka mahu merampas Selangor dari Barisan Nasional (BN) pada 2008, untuk membawa perubahan lebih baik kini hanya omong kosong.

Ketua Pengkalan Nelayan Sungai Udang, Tambeh Taslim berkata selama 10 tahun tiada apa-apa perubahan yang berlaku di jeti berkenaan walaupun sudah banyak kali membuat permohonan dan merayu terutama bagi membaik pulih jeti yang sudah uzur.

Namun, kata beliau, nelayan di kawasan itu agak bernasib baik berikutan mereka dibantu Timbalan Ketua UMNO Bahagian Klang, Datuk Seikh Rajesh Seikh Ahmad yang menghulurkan bantuan kepada nelayan terbabit, sebelum beliau dicalonkan lagi.

Bagaimanapun, bantuan yang dapat dihulurkan oleh calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang itu agak terhad dan mengikut kemampuan sahaja memandangkan Selangor ditadbir oleh kerajaan pakatan pembangkang.

"Sebab itu saya harap Selangor ditawan oleh BN semula. Lagipun beliau (Seikh Rajesh) anak jati kampung ini, sebelum jadi calon beliau sudah berusaha tolong nelayan di sini termasuk bagi bantuan jaring dan lesen sampan.

"Masalah jeti pun beliau sedaya upaya uruskan. Saya harap Datuk menang, lebih senang berurusan dengan Datuk," katanya.

Sementara itu, Juhari Tugimin pula berkata, jeti yang hampir runtuh dibaik pulih oleh nelayan sendiri dengan bantuan Seikh Rajesh selepas beberapa orang pernah jatuh disebabkan keuzuran kemudahan itu.

Katanya, sebelum ini memang ada wakil kerajaan negeri yang datang meninjau keadaan di jeti berkenaan, namun sehingga kini tiada perubahan atau penambahbaikan dilakukan.

"Mereka hanya datang, ukur dan ambil gambar, (mungkin) sekadar menyejukkan hati kami tetapi sehingga kini jeti berkenaan tidak dibaiki.

"Saya harap dengan kemenangan Datuk nanti, dapat bela nasib kami dengan membaikpulih jeti dan menambah keperluan lain, itu harapan kami nelayan di sini," katanya.

Seorang lagi nelayan, Zainal Abidin Ismail, berkata nelayan di situ sangat mengharapkan bantuan, membaik pulih jeti yang sudah uzur dan kerja mendalamkan sungai yang cetek.

"Dalam masa 10 tahun bantuan memang tak wujud, peruntukan yang diuar-uarkan tidak tahu ke mana walaupun bantuan sudah lulus. Projek dah ada, duit sudah ada tetapi tidak buat.

"Datuk Rajesh harapan kami, doa kami supaya beliau menang kerana beliau anak jati di sini. Saya menjadi nelayan lebih 30 tahun lalu, ketika Datuk Rajesh kecil lagi tetapi sekarang sudah jadi calon. Kami harap Datuk jadi wakil rakyat di sini," katanya.

Bagi Seikh Rajesh, beliau sendiri merasai keperitan nelayan di kampungnya kerana beliau membesar di situ serta beliau melihat sendiri masalah yang mereka hadapi justeru ia menjadi agenda utama perjuangannya di kawasan itu.

"Saya juga tertanya-tanya mengapa nelayan pinggir pantai ini tidak dapat hak seperti mana nelayan laut dalam. Jika mereka menerima peruntukan dan mendapat bantuan lesen, subsidi, jaring serta sampan, mengapa nelayan di pinggir pantai ini tidak diberikan kemudahan sama?

"Jika ada bantuan seperti ini, mungkin hasil nelayan pesisir pantai akan bertambah dan meningkatkan ekonomi nelayan itu sendiri," katanya.

Pada masa sama, Seikh Rajesh berkata, keadaan jeti nelayan yang sudah uzur juga memerlukan penambahbaikan kerana ia boleh roboh pada bila-bila masa.

"Kita hanya boleh mengubah kehidupan ini apabila BN kembali menawan Pelabuhan Klang dan Selangor," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment