Memperkukuh institusi kewangan

Sunday, May 20, 2018

Memperkukuh institusi kewangan

Memperkukuh institusi kewangan

ROH Ramadan 1439H yang menemui umat Islam di seluruh dunia kini akan meninggalkan segala cerita-cerita naratif yang bersifat perkauman, prejudis dan politics of fears pada PRU14 baru-baru ini dan fokus kita umat Islam pada bulan yang mulia ini adalah mencari dan mengejar seberapa banyak pahala dan amal kebajikan melebihi bulan-bulan lain.

Ia untuk dijadikan bekalan kita di akhirat kelak kerana setiap daripada kita sudah sedia tahu akan kelebihan dan fadilat yang tak terhingga pada Ramadan ini dan tidak lupa juga malam yang paling dicari-cari oleh setiap umat Islam iaitu malam Lailatul Qadar yang mana malam itu adalah lebih baik daripada seribu bulan.

Namun dalam kita mengejar amal kebaikan untuk diri sendiri, tidak lupa juga tanggungjawab kita kepada agama, bangsa dan negara dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju, hebat dan sejahtera pada masa akan datang.

Dalam perjalanan menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju, hebat dan sejahtera, kemajuan dari segi sahsiah, tingkah laku dan intelektual masyarakat, pembangunan infrastruktur, dan masyarakat berkeusahawanan semestinya penting dalam tujuan mencapai status sebuah negara maju.

Namun terdapat satu sektor yang terpenting dalam sesebuah negara yang mana memainkan peranan penting dalam kestabilan politik, taraf hidup rakyat dan kemajuan pembangunan sesebuah negara iaitu sektor kewangan.

Institusi kewangan Islam telah mengalami perkembangan yang sangat pesat dalam tempoh lebih sedekad lalu dengan pertumbuhan tahunan 40 peratus di peringkat global. Malah kini terdapat lebih daripada 600 institusi kewangan Islam di dunia meliputi lebih 75 buah negara.

Pada tahun 2016, Malaysia merupakan pasaran perbankan Islam kedua terbesar dunia dengan penguasaan 15.5 peratus selepas Arab Saudi 33 peratus dan diikuti dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan 15.4 peratus.

Laporan yang diterbitkan secara bersama dengan Bank Pembangunan Islam (IDB), Arab Saudi menyatakan Malaysia merupakan negara ekonomi Islam terbesar di rantau Asia Selatan dan Asia Tenggara dari segi jumlah aset kewangan Islam.

Malah menurut laporan itu, Malaysia mempunyai kerangka kerja tadbir urus syariah yang lebih maju berbanding negara-negara lain.

Pada tahun 2017, Maybank Islamic Berhad iaitu Bank Islam terbesar di Malaysia dan Asean bersandarkan jumlah aset muncul Institusi Kewangan Islam Terbaik Dunia di Global Finance Awards 2017 yang telah diadakan di Washington DC.

Maybank Islamic Berhad juga diiktiraf sebagai Bank Sukuk Global Terbaik dan Penyedia Pelaburan Patuh Syariah Jangka Pendek Global Terbaik, kemenangan kali kedua berturut-turut dalam kedua-dua kategori itu. Maybank Islamic juga dinamakan Institusi Kewangan Islam Terbaik di Asia Pasifik selain memenangi anugerah negara bagi Malaysia dan Singapura.

Produk-produk perbankan Islam kini bukan sahaja diaplikasikan oleh golongan Muslim, bahkan golongan non Muslim juga ramai yang sudah meminati dan berjinak-jinak dengan produk-produk kewangan Islam, bahkan ada yang sudahkan mengaplikasikannya dalam pengurusan kewangan perbankan mereka.

Ini kerana ramai antara mereka sedar akan kelebihan produk-produk perbankan Islam berbanding produk-produk bank konvensional.

Pada tahun 2008, peristiwa kejatuhan ekonomi Amerika Syarikat akibat sistem kapitalis telah menjadi iktibar dan pengajaran kepada kita untuk tidak mengamalkan sistem konvensional yang mendedahkan kepada kegawatan dan bankrapsi terhadap ekonomi negara.

New Century Financial Corporation kerugian sebanyak USD 6.5 trilion dan telah memberikan kesan negatif kepada seluruh industri hartanah, perbankan dan ekonomi Amerika Syarikat.

Kejatuhan syarikat-syarikat gergasi lain seperti Lehman Brothers, Merrill lynch, AIG dan syarikat-syarikat lain pada tahun 2008 telah memberi pengajaran dan iktibar kepada Malaysia untuk ubah dan perbaiki sistem kewangan negara kepada sistem yang lebih Islamik yang mengelak daripada unsur riba, gharar dan maisir.

Jadi semoga dengan terbentuknya kerajaan baharu Pakatan Harapan yang diberi mandat daripada rakyat untuk mentadbir negara pada kali ini akan mengukuhkan lagi industri kewangan Islam di negara ini, bahkan akan menjadikan institusi kewangan Islam Malaysia sebagai institusi kewangan Islam terbesar dan terbaik di dunia dari segi aset, sistem urus tadbir syariah dan peratusan pengguna produk kewangan perbankan Islam.
 
* Penulis merupakan penuntut Jurusan Fiqh dan Fatwa Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Usim



sumber: sinarharian
sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment