KPDNKK tegaskan tiada peningkatan harga yang ketara

Sunday, May 27, 2018

KPDNKK tegaskan tiada peningkatan harga yang ketara

KPDNKK tegaskan tiada peningkatan harga yang ketara

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu menegaskan, tidak berlaku peningkatan harga yang ketara bagi barang keperluan asas seperti ayam dan minyak di negeri ini.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd. Kia berkata, ia hasil pemantauan setiap hari yang dilakukan pihaknya di pasar basah, pasar raya dan bazar Ramadan.

Sebaliknya, beliau berkata, pengguna perlu bijak membuat pilihan ketika membuat pembelian, terutamanya barang-barang-barang keperluan semasa Ramadan, termasuk menggunakan aplikasi PriceCatcher bagi mendapatkan harga terbaik.

“Sebenarnya, pilihan terletak di tangan pengguna. Sepanjang pemeriksaan yang dibuat hari ini, kita dapati harga ayam rendah. Pengguna perlu pandai memilih sebab ada kalanya harga barangan di pasar basah dan pasar raya berbeza.

“Tetapi di Kuala Berang, ada peningkatan harga. Harga ayam di Kuala Terengganu sekitar RM7.10 tetapi di Kuala Berang ada yang mencecah RM10. Jadi, kita akan semak dan tengok pada rantaian, kenapa harganya naik begitu sekali.

“Pada masa yang sama, ingin kita ingatkan pada pembekal, pemborong dan peruncit agar jangan mengambil kesempatan pada bulan Ramadan ini. Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika dapat laporan peningkatan harga,” katanya.

Sebelum itu, beliau dan pasukan penguat kuasa KPDNKK Terengganu membuat pemeriksaan di syarikat pemborong ayam, HDA Poultry Sdn Bhd di Batu Rakit dan syarikat pemborong minyak masak, Maimunah Ibrahim di Mengabang Telipot.

HDA Poultry Sdn Bhd yang merupakan pemborong ayam di Terengganu membekalkan sebanyak 4,480 ekor ayam sehari.

Selain itu, terdapat 11 buah syarikat pembungkus minyak masak di Terengganu, manakala kuota minyak masak bagi Terengganu adalah sebanyak 1,043 metrik tan.

Jelas Saharuddin, KPDNKK Terengganu telah mengambil langkah-langkah untuk memastikan bekalan barang-barang kawalan berjadual sentiasa mencukupi sepanjang masa.

“Antara langkah yang kita ambil untuk memastikan barang-barang kawalan mencukupi dan sentiasa berada dalam pasaran adalah dengan mengadakan mesyuarat bersama pasar raya dan pemegang lesen borong gula, minyak masak, tepung gandum, ayam, daging dan sayur-sayuran.

“Selain itu, kita membuat pemeriksaan stok bekalan barang-barang kawalan berjadual serta mengeluarkan arahan kepada pemborong ayam dan minyak masak agar meningkatkan pengeluaran sepanjang Ramadan bagi menampung permintaan orang ramai,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment