Hospital Pasir Gudang bukti kerajaan tepati janji
JOHOR BAHRU: Projek pembinaan Hospital Pasir Gudang, di sini, membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) menepati janji, selaras tanggungjawab memenuhi keperluan rakyat.
Majlis Pecah Tanah Hospital Pasir Gudang dijangka disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Bandar Seri Alam, Plentong, pada Jumaat ini.
Mohamed Khaled dalam kenyataan berkata, pembinaan hospital itu adalah satu khabar gembira yang dinantikan kerana kewujudannya bakal memenuhi keperluan masyarakat setempat, terutama bagi penduduk di Pasir Gudang.
"Pada 2014, kerajaan negeri sudah memohon pembinaan dua hospital baharu di negeri ini iaitu di Tampoi dan Pasir Gudang. Permohonan ini dilaksanakan berikutan permintaan yang tinggi daripada masyarakat bagi mengatasi kesesakan berlaku di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) yang terletak di bandar raya.
"Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menerusi Bajet 2016 mengumumkan kelulusan bagi pembinaan Hospital Pasir Gudang," katanya.
Mohamed Khaled berkata, kelulusan itu termasuk dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) membabitkan peruntukan berjumlah RM500 juta yang turut dilengkapi pelbagai perkhidmatan dan kepakaran utama.
"Sebelum ini, kerajaan negeri sudah melepasi pelbagai fasa dalam memastikan pembinaan hospital itu dapat direalisasikan seperti dijanjikan, termasuk menyelesaikan urusan tapak, kajian semula reka bentuk baharu dan kos pembinaannya," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat, dilaporkan berkata pembinaan Hospital Pasir Gudang sudah dirancang untuk dibina tahun ini, bukannya tertangguh selama enam tahun seperti didakwa pihak pembangkang.
Katanya, penjelasan secara terperinci mengenai projek pembinaan hospital itu sudah dibuat pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu dengan tender pembinaan akan dikeluarkan pada awal tahun ini.
Projek pembinaan dengan kos lebih RM50 juta perlu melalui proses makmal pengurusan nilai terlebih dahulu termasuk penilaian kos dan kejuruteraan.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment