Banyak parti main isu agama, bangsa

Wednesday, May 2, 2018

Banyak parti main isu agama, bangsa



KONVENSYEN Antarabangsa Menghapuskan Diskriminasi Bangsa (ICERD-WD) menyelar sebilangan parti politik yang menggunakan isu berkaitan bangsa dan agama untuk ‘memancing’ undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Lebih mengejutkan, isu yang dipantau oleh cabang ICERD-WD iaitu PEMANTAU itu digunakan oleh hampir semua parti politik utama tahun ini.

Pengarah Program Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS), Adli Zakuan berkata, kajian PEMANTAU sejak 2015 mengesan lonjakan penggunaan isu bangsa dan agama dalam kempen lebih-lebih lagi menjelang PRU-14.

Katanya, lebih membimbangkan pemantauan mendapati sekitar 80 peratus daripada isu bangsa dan agama yang digunakan itu lebih memberi kesan negatif kepada masyarakat di Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Pemantauan kami adalah menyeluruh meliputi semua platform termasuk berita yang disiarkan akhbar, saluran dalam talian dan perkongsian orang ramai yang hadir di kempen atau ceramah am.

“Kami mengingatkan semua parti politik dan calon PRU-14, sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan antara bangsa adalah kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya Seksyen 4a (1),” katanya pada sidang media di sini, tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya meminta orang ramai membuat laporan jika mendapati isu bangsa dan agama dipolitikkan oleh mana-mana pihak kepada PEMANTAU atau badan yang bertanggung jawab.

Katanya, adalah menjadi tanggung jawab rakyat untuk menolak sebarang isu murahan yang ditimbulkan parti politik khususnya berkaitan bangsa dan agama sepanjang tempoh PRU-14.



sumber: hmetro

0 comments:

Post a Comment