TFC III terus cengkam takhta liga

Tuesday, May 1, 2018

TFC III terus cengkam takhta liga

TFC III terus cengkam takhta liga

KUALA TERENGGANU - Pasukan Terengganu FC III (TFC III) mengukuhkan cengkaman carta liga kumpulan B apabila berjaya menundukkan PKNP FC, 1-2  dalam aksi saingan Piala Presiden yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, semalam.

Pengendalinya, Badrul Hafzan Razali mengakui gembira dengan kejayaan itu dan menyifatkannya kemenangan paling berharga apabila terpaksa dibayar dengan harga yang ‘mahal’ ekoran dua  tonggak utama pasukan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob dan Muhammad Izzan Syahmi Mustapa dilayankan kad merah pada perlawanan tersebut.

Menurutnya, pemain berjaya bermain dengan baik meskipun mereka terpaksa beraksi dengan kekurangan dua pemain sehingga tamat perlawanan.

“Sememangnya kita sudah jangka bahawa pasukan pelawat (PKNP FC) akan memberi saingan sengit dan saya bersyukur kerana pemain mampu memikul tanggung jawab dengan cemerlang walaupun sedikit bergelut untuk mengimbangi kekuatan kem lawan.

Pemain kem tuan rumah meraikan gol pembukaan dan kemenangan TFC III yang disempurnakan dengan kemas Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-26.

“Saya begitu kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan pemain yang mempamerkan aksi membanggakan sekali gus berjaya menjarakkan kedudukan mata dengan PKNP FC yang kini berada di tangga kedua carta liga kumpulan B,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.

Pada pertemuan itu, menyaksikan kem  tuan rumah terlebih dahulu menguji gawang gol pelawat menerusi percubaan kemas, Mohammad Rahmat Makasuf pada minit kesembilan namun mudah dibaca penjaga gol, Shafiq Afifi Suhaimi.

TFC III yang menggandakan asakan sekali lagi gagal memanfaatkan peluang keemasan dalam membuka jaringan apabila rembatan jarak jauh, Muhammad Izzan Syahmi Mustapa gagal menemui pintu gol pada minit ke-18.

Enam minit selepas itu, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob muncul wira kem tuan rumah apabila berjaya meledakan gol pembukaan TFC III hasil susulan sepakan penaltinya yang gagal ditepis dengan kemas Shafiq Afifi.

PKNP yang cuba bangkit mencari jaringan penyamaan hampir tertunai pada minit ke-43, bagaimanapun percubaan leret Nohfitri Ahmad sekadar melencong ke sebelah tepi gawang gol, sebelum kem tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Izzan Syahmi dilayangkan kad kuning kedua pada masa kecederaan babak pertama.

Jentera serangan tuan rumah Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali cuba melepasi halangan yang dilakukan benteng pertahanan PKNP FC pada aksi babak pertama perlawanan semalam.

Tuan rumah yang beraksi dengan kekurangan seorang pada babak kedua gagal dimanfaatkan PKNP yang dikecewakan dek  ketumpulan jentera serangan diketuai Muhamad Alif Rieza sebaliknya tuan rumah terus gagah bertahan.

Aksi panas tercetus pada minit ke-76 menyebabkan perlawanan terhenti dengan kem tuan rumah menamatkan permainan dengan sembilan pemain apabila Engku Muhammad Nur Shakir diarah keluar padang dan kedudukan kekal 1-0  sehingga tamat permainan.

Guna plan B bertemu Kuala Lumpur

Mengulas lanjut, Badrul Hafzan berkata, pasukannya terpaksa menggunakan plan B menjelang pertemuan dengan Kuala Lumpur Selasa ini setelah berdepan penggantungan dua pemain, selain dibelenggu masalah kecederaan.

Katanya, dia masih menaruh keyakinan skuad bimbingannya itu mampu mengulangi kejayaan mereka setelah kembali mendapat khidmat dua jentera tengahnya, Muhammad Fakhrul Wahid dan Mohd Zulkhairi Mohd yang sebelum ini digantung satu perlawanan ekoran mengutip tiga kad kuning.

Barisan pemain PKNP FC yang diturunkan A Pugelenthi ketika bertemu TFC III dalam aksi Piala Presiden, semalam.

“Jadi dengan ketiadaan dua jentera serangan pada pertemuan dengan Kuala Lumpur nanti, kita berkemungkinan akan menurunkan Abdul Halim Hamzah dan Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali.

“Apa pun kita akan memperkemaskan semula apa jua kelemahan pada perlawanan ini untuk memastikan TFC III terus mengutip mata di gelanggang sendiri menjelang pertemuan dengan Kuala Lumpur nanti,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment