Ahmad Husni pernah dipujuk sertai pembangkang
IPOH: Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini mendedahkan ada ahli pembangkang cuba memujuknya menyertai parti mereka selepas beliau meletakkan semua jawatan dipegangnya dua tahun lalu.
"Bila berhenti menjadi menteri, ramai orang ajak saya pergi parti ke sana (pembangkang). Bukan tidak mahu tapi saya berotak, orang Tambun orang berotak.
"Janggut putih, rambut tak ada, kalau buka serban maknanya otak tidak ada tapi mulut cakap banyak. Bila ajak saya, janji dengan saya nak bagi macam-macam, saya kata tidak," katanya ketika berucap ketika majlis sarapan pagi bersama penduduk Manjoi di sini, hari ini.
Ahmad Husni yang mempertahankan kerusi Parlimen Tambun pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) berkata, masyarakat perlu bijak memilih agar lebih banyak peluang pembangunan wujud di Tambun.
"Kerajaan telah menghasilkan pelan yang menyeluruh dan seperti tahun lalu, Malaysia mencatat kadar pertumbuhan sebanyak 5.9 peratus. Ini bermakna bila bercakap soal masa depan, apa yang kita rancang akan tercapai dan kita perlu yakin dengan masa depan.
"Bagi mewujudkan peluang dan masa hadapan yang lebih cerah, kita harus bijak memilih dan memilih itu biarlah parti Barisan Nasional (BN)," katanya lagi.
Ketika bersarapan dengan penduduk Manjoi, mereka dikejutkan dengan kehadiran bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali yang turut meluangkan masa selama sejam bersama penduduk di sana.
Tajol Rosli dalam ucapannya berkata, beliau berharap penduduk di Tambun dapat melupakan peristiwa dua tahun lalu dan memaafkan pemimpin mereka demi mencapai kemenangan BN pada PRU-14 nanti.
"Ia sebenarnya antara Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) dan Ahmad Husni. Mereka adalah kawan baik kerana sama-sama berada dalam Exco Pemuda (UMNO) satu ketika dulu termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Apabila Husni meletakkan jawatan beliau sebagai Menteri Kewangan (Kedua) dan Ketua UMNO Tambun, tidak banyak kita dapat tahu permasalahan, cuma pada saya ini ialah masalah emak dan ayah.
"Kita anggap Husni sebagai emak dan Najib sebagai ayah. Ini pergolakan emak dan ayah. Emak merajuk lari sekejap, tiba-tiba ayah kata nak bawak balik emak nak maafkan emak.
"Bila ayah dah maafkan emak, kita sebagai anak atau ahli-ahli UMNO, BN dan pengundi di Tambun perlu memaafkan emak juga," katanya lagi.
Pada 27 Jun 2016, Ahmad Husni mengumumkan peletakan jawatan sebagai Bendahari UMNO dan Bendahari Agung BN, Timbalan Pengerusi Bagan Perhubungan UMNO Perak, Timbalan Pengerusi BN Perak, Ketua UMNO Bahagian Tambun dan Pengerusi BN Parlimen Tambun.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment