Pembangkang bawa budaya politik samseng, ganas

Tuesday, May 1, 2018

Pembangkang bawa budaya politik samseng, ganas

Pembangkang bawa budaya politik samseng, ganas

BATU PAHAT: Tindakan pembangkang menggunakan kekerasan dan membawa budaya politik samseng pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sehingga seorang warga emas parah diserang di Yong Peng malam tadi, tidak boleh diterima.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pembangkang mula mencetus provokasi terhadap dirinya dan penyokong BN sejak hari pertama kempen dimulakan.

Katanya, ia dilakukan dengan pelbagai jeritan dan ejekan selain gerak geri di setiap acara kempen dirakam, namun beliau menasihatkan penyokongnya supaya bertenang dan tidak termakan umpan.

Menurutnya, beliau kecewa apabila suasana kempen PRU-14 yang aman sebelum ini dicemari kekerasan dan provokasi melampau sehingga membabitkan kecederaan.

"Mengapa sampai begitu sekali pembangkang berpolitik sehingga sanggup guna kekerasan dan membawa budaya samseng dalam kalangan masyarakat kita yang hidup penuh harmoni, ini tidak boleh diterima sama sekali dan wajar dikecam.

"Dalam sejarah saya bertanding di Ayer Hitam sejak tahun 2004, inilah pertama kali berlaku provokasi melampau, budaya politik samseng yang dibawa dan diguna pakai pembangkang pada PRU," katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat MCA Ayer Hitam,dekat sini, hari ini.

Terdahulu, Ka Siong menghadiri kempen BN di Parit Surau Darat dan Yong Peng.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam semalam, seorang warga emas, Tan Hong Hi @ Ting Hong Hi, 77, yang juga aktivis BN, cedera rusuk kiri apabila ditolak jatuh dari pentas berketinggian lebih satu meter oleh penyokong pembangkang.

Ia berikutan selepas tindakan warga emas menurunkan bendera PKR pada acara BN di Dataran Yong Peng Street tidak disenangi penyokong pembangkang.

Warga emas berkenaan masih dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) bagi pemantauan lanjut dan memastikan tekanan darahnya yang tinggi distabilkan berikutan trauma dengan kejadian berkenaan.

Ka Siong yang juga Timbalan Presiden MCA,turut kecewa dan kesal apabila pembangkang kini cuba memutar belit fakta sehingga sanggup menuduh warga emas berkenaan memulakan provokasi sedangkan ia dimulakan mereka.

Beliau berkata, netizen dan pihak yang tidak berada di lokasi kejadian bukan sahaja mengecam warga emas berkenaan kononnya memulakan provokasi dan menyerang penyokong pembangkang sehingga kejadian berkenaan berlaku.

Malah, katanya, mereka memberikan pelbagai komen jelik sehingga keluarga mangsa tertekan.

"Sebaliknya, apa yang berlaku adalah warga emas itu diserang dan ditolak dari pentas oleh penyokong pembangkang ketika mangsa sedang menurunkan bendera PKR yang dipacakkan pembangkang di pentas utama dalam acara BN.

"Bayangkan jika penyokong BN memacakkan bendera parti dalam acara dan pentas kempen pembangkang, sudah pasti rusuhan akan terjadi.

"Ini sangat jelas provokasi melampau dan tindakan keji terhadap BN sedangkan kita tidak pernah mengganggu sebarang acara yang diadakan mereka atas dasar hormat," katanya.

Beliau turut mengakui terkejut apabila melihat ada bendera PKR di pentas utama sedangkan ia adalah program BN.

"Saya kemudian mengambil keputusan tidak naik ke pentas, dan berucap di bawah bersama tetamu yang hadir sebelum insiden berkenaan terjadi," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment