Pemandu mabuk rempuh pejalan kaki

Sunday, May 27, 2018

Pemandu mabuk rempuh pejalan kaki

Pemandu mabuk rempuh pejalan kaki

BATU PAHAT - Seorang pejalan kaki cedera parah dirempuh pacuan empat roda ketika mangsa berada di tepi jalan membeli burger di Jalan Mohd Salleh, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu turut melibatkan tiga lagi individu yang berada di tepi jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu pacuan empat roda berkenaan hilang kawalan akibat memandu dalam keadaan mabuk.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pacuan empat roda jenis Nissan Navara dari arah Jalan Fatimah terus masuk ke lorong sebelah kanan dan melanggar empat individu yang berada di tepi jalan terbabit.

“Akibat rempuhan berkenaan, seorang pejalan kaki berusia 25 tahun cedera parah dan dihantar ke Pantai Hospital Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian.

“Tiga lagi individu yang cedera ringan pula dihantar orang ramai ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) manakala sorang lagi individu, iaitu penjual burger tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Tambah Abdul Wahib lagi, semasa kejadian, jalan sibuk dengan banyak kenderaan di jalan lurus dua lorong dan dua hala serta garisan tengah putus-putus sebagai tanda pemisah jalan.

Katanya, semasa kejadian cuaca berada dalam keadaan baik dan jalan kering di samping berlaku sedikit kekecohan di antara orang ramai dengan pemandu, tetapi dapat dikawal orang ramai.

“Kes disiasat mengikut Sekyen 43(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut dilakukan,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment