Tun M simpati terhadap Tony Fernandes
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau simpati dengan Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berhubung tekanan yang diberikan kerajaan terdahulu.
Dalam wawancara eksklusif bersama akhbar The Edge Weekly, Perdana Menteri berkata beliau tahu beberapa syarikat atau individu yang dilihat bersahabat dengannya sebelum ini berisiko menjadi sasaran oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
"Saya tahu kerajaan sebelum ini memberi tekanan. Sebagai contoh, jika syarikat atau individu kelihatan baik kepada kami (pemimpin Pakatan Harapan), jabatan hasil akan meminta mereka membayar cukai tambahan dan mengatakan ia sebagai undang-undang.
"Jadi, apabila anda berdepan dengan ancaman ini, lebih baik bersahabat dengan kerajaan. Jadi mereka (AirAsia) menukar warna merah (warna) mereka kepada biru (Barisan Nasional) untuk menggembirakan kerajaan.
"Saya bersimpati dengan ramai orang yang ditekan oleh kerajaan terdahulu dalam pelbagai cara. Ada yang perlu bayar sebanyak RM90 juta," katanya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya mengenai video komen Tony yang dimuatnaik sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang mana beliau memuji bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana mengutamakan rakyat.
Tony menerima kecaman berhubung video itu dan sejurus kemenangan Pakatan Harapan pada PRU-14 lalu, beliau memuatnaik satu lagi video memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tunduk kepada tekanan kerajaan Barisan Nasional.
Pada masa sama, Pengerusi AirAsia X, Rafidah Aziz dan Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Abdul Rahman turut mempertahankan tindakan Tony.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment