Pas dakwa PH warisi kerakusan BN

Wednesday, May 16, 2018

Pas dakwa PH warisi kerakusan BN

Pas dakwa PH warisi kerakusan BN

SHAH ALAM - Pas mendakwa Pakatan Harapan (Harapan) mula mewarisi kerakusan BN kerana mahu merampas Kelantan dan Terengganu daripada parti itu.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, walaupun PRU15 masih jauh dan PRU14 baharu sahaja berakhir, Harapan kelihatan tidak sabar mempamerkan sikap dan kemahuan politik rakusnya.

“Mulanya saya turut teruja mengikuti ucapan sulung Ketua Umum PKR selepas dibebaskan, namun saya tersentak apabila mendengar komitmen beliau untuk menawan Kelantan dan Terengganu pada pusingan akan datang.

“Setelah membilang satu persatu negeri yang berjaya ditawan Harapan, kemudiannya dengan lagak Mr Arrogant, beliau menyebut Kelantan dan Terengganu akan ditawan kelak untuk menyempurnakan kepuasan dan keseronokan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau pada awalnya tumpang gembira atas kemenangan Harapan menumbangkan BN, tetapi semalam beliau menyatakan rasa tercabar dengan kenyataan Anwar.

“Saya percaya, anak-anak muda yang bekerja keras mempertahankan Kelantan dari dirampas BN dan memenangi kembali negeri Terengganu, turut rasa dicabar dengan ucapan Anwar.

“Jika itu tekad mereka, maka kami tetap akan bangkit mempertahankan Kelantan dan Terengganu serta menyelamatkannya dari menjadi mangsa rakus BN 2.0 ini,” katanya.

Jelasnya, Pas memahami keperluan menjatuhkan BN walaupun berbeza ideologi perjuangan, namun semua pihak perlu menyatakan sikap bahawa tidak ada sebab Harapan perlu melawan parti itu dan menawan negeri yang ditadbir secara telus, adil, berkebajikan dan mematuhi kehendak syariat.

“Format PRU15 kelak pasti berubah. Jika Harapan bernafsu besar untuk menawan Kelantan dan  Terengganu kelak, maka Pas semestinya diletakkan dalam posisi siap dan sedia. Bukan sahaja untuk mempertahankan Kelantan dan Terengganu tetapi turut merencana kemenangan Pas dinegeri - negeri lain.

“Perjuangan menegakkan syariat ALLAH SWT makin mencabar. Memerlukan para pejuangnya terus bangkit dengan semangat juang berlipat ganda disamping bermuhasabah atas pelbagai kelemahan yang wajar diperbaiki. Jangan leka danlengah, justeru musuh senantiasa rakus dan merancang.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment