Mohon 'restu' kerajaan negeri

Thursday, May 17, 2018

Mohon 'restu' kerajaan negeri

Mohon 'restu' kerajaan negeri

SETIU - Empat projek bernilai lebih kurang RM20 juta di Dun Langkap yang sedang berjalan diharap mendapat 'restu' daripada kerajaan negeri.

Adun Langkap, Datuk Sabri Mohd Noor berkata, buat masa sekarang ini, empat projek di Langkap (Dun) sedang dalam proses pelaksanaan dan berharap kerajaan negeri dapat meneruskannya sehingga selesai.

Menurutnya, empat projek itu ialah Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kampung Rahmat, Dewan Terbuka Sungai Tong, Masjid Bukit Putera dan Perkedaian Pekan Sri Langkap.

"Semua ini dalam proses pelaksanaan kerana bajet sudah pun lulus tetapi bagi fasa seterusnya, bergantung kepada kerajaan negeri.

"Saya buat semua ini pun untuk kepentingan rakyat di samping dapat menjana ekonomi penduduk kawasan Langkap," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya pada Majlis Kesyukuran Kemenangan PRU14, di sini.

Sabri berharap kerajaan negeri melihat projek-projek itu sebagai memberi manfaat kepada rakyat.

"Saya minta kerajaan terus menyokong termasuk juga pembinaan pondok moden yang sudah pun diluluskan.

"Bajet sudah ada di bawah peruntukan adun yang lepas cuma kontraktor belum menerima surat tawaran," katanya.

Bagaimanapun, Sabri yakin dengan kerajaan hari ini, pembinaan pondok moden itu dapat diteruskan juga bagi meningkatkan syiar Islam.

Sebelum ini, melalui kerajaan negeri di bawah kerajaan BN telah meluluskan pembinaan Pondok Moden bernilai RM2.5 juta di Kampung Pelong di atas tanah berkeluasan 40 ekar.

Dalam masa sama,ketika diminta mengulas mengenai perjuangannya dalam parti, Sabri berkata sebagai wakil rakyat, dia berjuang atas jati diri.

"Kita kena ada kekuatan ibarat pokok yang mempunyai akar tunjang yang kuat, jangan berputus asa dan ada hikmah di atas apa yang berlaku ini," jawabnya.

Katanya, jika di peringkat pucuk pimpinan pusat yang dipangku  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membuat kebangkitan, begitu juga di cawangan (Dun Langkap).

"Mesyuarat akan dibuat seperti biasa bermula 19 Mei ini dan akan diadakan serentak melibatkan ketua cawangan, wanita dan sebagainya untuk membangkitkan semangat mereka dan yakin terhadap parti," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment