Kediaman untuk Melayu

Sunday, May 20, 2018

Kediaman untuk Melayu

Kediaman untuk Melayu

TOPIK berkaitan hartanah dan rumah tidak pernah berhenti dibincangkan. Perihal pemilikan dan kemampuan memiliki sebuah kediaman di atas tanah sentiasa menjadi keutamaan rakyat khususnya orang Melayu.

Ini kerana, faktor harga rumah yang melambung tinggi dengan kos hartanah yang semakin mahal menjadikan sebilangan besar warga Melayu golongan kelas pertengahan teramat sukar memiliki rumah atas tanah di kawasan perbandaran apatah lagi di tengah kota.

Bertitik tolak daripada keadaan ini, syarikat pemaju milik penuh bumiputera, Pencala Jaya Sdn Bhd (Pencala Jaya) mengorak langkah membangunkan rumah mampu milik sebagai inisiatif khusus membantu warga Melayu memiliki kediaman selesa menerusi projek Azalea.

Pengarah Urusan Pencala Jaya, Fatimah Abd Wahab berkata, projek meliputi enam fasa termasuk fasa pertama Azalea dan fasa kedua yang sedang dibangunkan kini dilaksanakan di atas Tanah Rizab Melayu berkeluasan 140 ekar terletak di kawasan perbandaran Taman Putra, Bukit Rahman Putra di Sungai Buloh, Selangor.

Katanya, pada pembukaan fasa pertama Azalea, sambutan orang ramai amat memberangsangkan berikutan harga berpatutan ditawarkan.

"Fasa pertama Azalea dilancarkan pada Oktober 2017 dengan menawarkan 258 unit rumah teres dua tingkat. Pada hari pelancaran, kesemua unit habis terjual.

"Anggaran yang hadir pada hari pelancaran sekitar 600 orang," katanya sambil memberitahu rumah mampu milik fasa pertama Azalea menawarkan harga bermula RM450,000 seunit dan akan siap diduduki pertengahan tahun hadapan.

Fokus bangun tanah di Bandar Rahman Putra

Fatimah berkata, projek perumahan bagi fasa kedua yang dilancarkan pada 21 April bulan lalu menawarkan kira-kira 50 unit rumah teres tiga tingkat.

"Untuk fasa kedua ini, harga seunit rumah ditawarkan bermula daripada RM550,000 dan proses pembinaan kini telah memasuki suku keempat.

"Projek perumahan ini mendapat sambutan dalam kalangan pasangan muda yang baru ada satu atau dua anak. Mereka ini mencari rumah pertama dan mahu meningkatkan kualiti hidup berkeluarga," katanya.

Fatimah berkata, Pencala Jaya optimis kesemua unit fasa kedua akan habis terjual dalam masa terdekat.

"Lokasi projek perumahan ini amat strategik dan akses kemudahan yang ada juga menjadi salah satu faktor ia menjadi pilihan pembeli.

"Malah, dalam tempoh lima tahun ini, Pencala Jaya memfokuskan dalam membangunkan tanah di Bandar Rahman Putra. Pembangunan di sini merupakan salah satu pembangunan perbandaran tanah Rizab Melayu yang terbesar di Selangor," katanya.

Jelas beliau, prospek hartanah pada tahun ini lebih baik berbanding 2017 dengan mengambil kira pengurangan peratusan pengangguran daripada 3.4 peratus kepada 3.3 peratus pada tahun ini.

"Justeru, melihat kepada faktor ini lebih ramai pembeli hartanah berpotensi mewujudkan permintaan kepada sektor hartanah dari segi membeli untuk diduduki dan untuk pelaburan.

"Malah, peningkatan pelancaran hartanah pada tahun ini juga menunjukkan hala tuju pasaran hartanah yang lebih positif dan proses pinjaman daripada pihak bank juga pada masa kini menunjukkan tanda-tanda positif," katanya.

Jelas beliau, suatu masa dulu pihak bank sukar memberi kerjasama untuk urusan pinjaman melibatkan hartanah Rizab Melayu tetapi kini sebaliknya.

"Pihak bank kini lebih menyokong dan proses pinjaman juga tidak serumit dulu. Justeru, saya berharap agar lebih banyak institusi perbankan muncul menyokong pemaju-pemaju yang mengendalikan projek Rizab Melayu pada masa akan datang," katanya ketika ditemui di unit pameran Azalea di Bukit Rahman Putra, Sungai Buluh, Selangor.

Sokong agenda perkasa Melayu

Projek perbandaran Taman Putra yang dibangunkan Pencala Jaya ini mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3 bilion.

Menurut Fatimah, projek ini dijangka siap pada suku kedua 2019 seterusnya membuka peluang keemasan bagi kaum Melayu memiliki rumah impian di perbandaran yang sedang pesat membangun.

"Azalea adalah salah satu komitmen Pencala Jaya menyokong agenda memperkasakan bumiputera dengan menjadikan Bukit Rahman Putera sebagai sebuah perbandaran tanah Rizab Melayu terbesar di Selangor.

"Pembangunan ini juga akan dilengkapi hab pengangkutan bersepadu dan pelbagai fasiliti dan pusat komersial dalam satu perbandaran. Kini syarikat sedang dalam proses perbincangan dengan pihak kerajaan berhubung pembinaan sebuah stesen komuter di kawasan ini yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk komuniti di sini sebaliknya, keseluruhan rakyat di kawasan ini," katanya.

Azalea konsep kontemporari

Azalea berkonsepkan rumah impian, rekreasi dan jalinan ikatan kemasyarakatan.

"Bagi warga kota yang inginkan kediaman berdekatan kota di dalam suasana daman dan santai, Azalea adalah jawapannya. Ia dibina dalam lingkungan hab perniagaan dan hiburan serta akses mudah ke lebuhraya-lebuhraya utama serta perkhidmatan pengangkutan awam. Kemudahan seperti sekolah, kedai-kedai telah tersedia di sekitar Azalea.

"Rumah teres dua tingkat dengan saiz lot 20x60 kaki persegi dan teres tiga tingkat saiz lot 20x65 kaki persegi menawarkan reka bentuk kontemporari dengan ruang luas ini di bina dengan penuh teliti demi menjamin kualiti.

"Di setiap bilik juga mempunyai sumber pencahayaan yang baik kerana kesemua bilik terdapat tingkap. Malah, untuk kesemua bilik ia dipasang lantai vinyl yang berkualiti. Sementara selain ruangan dalam bilik di dalam kediaman ini dipasang tile berkualiti tinggi jenis porcelain," katanya.



sumber:
sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment