Dua beranak maut kemalangan

Tuesday, May 15, 2018

Dua beranak maut kemalangan

Dua beranak maut kemalangan

RAUB - Seorang ibu dan anak perempuannya maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) di KM 10, Jalan Sungai Ruan-Lembah Klau, semalam.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata kejadian yang berlaku pada jam 7.40 pagi itu Rafidah Mat Sherat, 35, yang merupakan guru di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sungai Ruan dan anak perempuannya, Fatin Damia Jamalizal, 6, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati pemandu yang memandu kenderaan 4x4 jenis Toyota Hilux dari arah Sungai Ruan menghala ke Lembah Klau.

“Setibanya di tempat kejadian, pemandu tersebut telah melanggar lopak air lalu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

“Dalam masa yang sama, ibu dan anak yang menunggang motosikal dari arah bertentangan dan telah terlanggar bahagian tepi kenderaan tersebut dan menyebabkan mereka meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata pemandu Hilux tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini ditahan untuk diambil sampel darah dan ujian air kencing oleh pihak narkotik.

Dalam pada itu, siasatan awal mendapati kemalangan yang berlaku berpunca dari kecuaian pemandu Hilux yang memandu dengan laju dan gagal mengawal kenderaan lalu terbabas masuk laluan bertentangan dan menyebabkan kemalangan berlaku.

Tambahnya, tempat kejadian merupakan jalan lurus dua hala, dan permukaan jalan ketika itu dalam keadaan basah dan licin disebabkan selepas hujan.

“Kemalangan tersebut turut menyebabkan motosikal mangsa jenis Yamaha LC 135 remuk keseluruhan dan rosak teruk di manakala Hilux tersebut hanya mengalami remuk di bahagian kiri.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan kes ini masih diteruskan,” katanya.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment