DAP perkuda Dr M, pecah belah Melayu - Najib
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, pembangkang khususnya DAP hanya memperkudakan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memecahbelahkan undi orang Melayu.
Perdana Menteri berkata, perkara itu terbukti selepas ia diakui sendiri Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dalam ucapannya Sabtu lalu, yang ditonton menerusi Youtube.
Najib berkata, Ramasamy dalam rakaman video itu berkata, pembangkang tidak melupakan apa yang pernah dilakukan Dr Mahathir, tetapi menerimanya kerana mahu menarik undi Melayu.
"Apa yang kita syaki selama ini sudah diluahkan secara terbuka, sudah terang lagi bersuluh nawaitu mereka untuk memperkudakan Dr Mahathir. Kesian orang umur 93 tahun ini.
"Macam mana mereka (pembangkang) nak tubuh kerajaan yang stabil jika mereka semata-mata nak mempergunakan antara satu sama lain dan dalam hati mereka tak mampu lupakan angkara Dr Mahathir.
"Maknanya, kalau DAP dapat kerusi banyak, dia boleh tolak saja Dr Mahathir. Dia pergunakan Dr Mahathir sebagai kuda, dia jadi 'puppet master' (dalang) daripada belakang.
"Jangan kita terpedaya dengan politik seperti ini dan memperjudikan masa depan kita. Tengok muka anak cucu kita, kerana kalau silap buat perhitungan, hancur masa depan dan berderai segala harapan kita," katanya berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia di sini, malam ini.
Turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Wangsa Maju merangkap Pengerusi Perhubungan MCA Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Yew Teong Look dan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah.
Najib berkata, DAP sudah mula menunjukkan belangnya walaupun belum menang pilihan raya, apabila lantang menamakan bakal menteri daripada parti itu tanpa menghiraukan pandangan parti pembangkang lain.
"Jika mengikut sistem yang kita amalkan, hanya Perdana Menteri saja layak melantik menteri. Apa yang DAP lakukan ini jelas menunjukkan mereka tak hormat Dr Mahathir.
"Dr Mahathir pun janganlah sampai marah pada UMNO dan BN. Marah pada saya tak apa, tapi jangan pada UMNO dan BN yang letakkan dia sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun," katanya.
Sementara itu, Najib yang juga Pengerusi BN, turut menyindir beberapa pemimpin PKR dan DAP yang selama ini melemparkan pelbagai kritikan dan tuduhan kepada Dr Mahathir.
"Saya nak jaga orang bawah, saya tak nak jaga kroni. Dia (Dr Mahathir) selalu jaga kroni dulu. Bukan saya cakap, tetapi Lim Guan Eng yang cakap, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang cakap, (mendiang) Karpal Singh yang cakap," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment