Chee Yee bawa suara belia di Melaka

Thursday, May 17, 2018

Chee Yee bawa suara belia di Melaka

Chee Yee bawa suara belia di Melaka

AYER KEROH: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka tidak mengetepikan peranan orang muda apabila melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dalam senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang baharu.

Pemilihan Chee Yee, 26, dari DAP sebagai EXCO Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan negeri membuktikan peranan yang seimbang antara wakil rakyat muda dan berpengalaman dalam kepemimpinan PH negeri.

Chee Yee berkata pelantikan beliau dalam pentadbiran kerajaan negeri diterajui Ketua Menteri, Adly Zahari adalah satu pengiktirafan besar khususnya dalam kalangan golongan muda.

"Ini menunjukkan golongan muda juga mendapat tempat (barisan EXCO) serta mampu menyuarakan kehendak, khususnya dalam bidang sukan secara keseluruhan.

"Saya akan memberi perhatian khusus kepada sukan teras di Melaka termasuk bola sepak yang kekal menjadi sukan nombor satu dan kegemaran rakyat.


CHEE Yee mengangkat sumpah sebagai EXCO Melaka. - Foto BERNAMA

"Pada masa sama, ingin bersama-sama mengajak rakyat di negeri ini untuk menjalani gaya hidup sihat," katanya ketika ditemui pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan EXCO di Dewan Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mendahului senarai nama pada majlis lantikan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob ialah ADUN Paya Rumput dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Mohd Rafiq Naizamohideen; Tey Kok Kiew (Bandar Hilir-DAP); Muhammad Jailani Khamis (Rembia-PKR); Mohd Sofi Abd Wahab (Durian Tunggal-AMANAH) dan G Saminathan (Gadek-DAP).

Selain Chee Yee, turut dilantik, Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu-DAP); Ginie Lim Siew Lin (Machap Jaya-PKR); Noor Effandi Ahmad (Telok Mas-PPBM) dan Low Chee Leong (Kota Laksamana-DAP).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Chee Yee, lulusan Ijazah berkembar Akaun dan Kewangan dari University of Melbourne, Australia, berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh dengan 14,279 undi menewaskan Datuk Chua Kheng Hwa dari Barisan Nasional yang memperoleh 5,018 undi dan Sepri Rahman (PAS) 2,567 undi.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment