Restoran Ah Basri hidang 36 jenis sate
BUKIT MERTAJAM - Ahbasri Exotic Food Sdn Bhd, pengusaha restoran yang menyajikan pelbagai hidangan sate melebarkan sayap perniagaannya dengan membuka dua lagi cawangan baharu tahun ini.
Pengarah Urusannya, Ahmad Basri Abdullah berkata, setakat ini pihaknya telah membuka tiga cawangan iaitu di Taman Sri Tunas Bayan Lepas, Mutiara Heights Kajang dan terbaru di pusat komersial Setia Sentral di Juru di sini.
Menurutnya, dua restoran lagi bakal dibuka di Perak dan Kelantan dalam masa terdekat.
âSelain mengusahakan restoran, kita juga mempunyai kilang memproses sate di Bayan Lepas yang menghasilkan kira-kira 10,000 cucuk sate setiap hari.
âBiasanya sate dijual dengan dua pilihan daging iaitu lembu dan ayam namun di Restoran Ah Basri kami menyediakan 36 jenis sate seperti arnab, burung unta, ayam, daging, kuda dan paling digemari ialah kalamari, malah di restoran kami turut mempunyai sate kurang gula," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ahmad Basri berkata, pihaknya membuka peluang kepada peniaga yang berminat dan mempunyai kesungguhan untuk bekerjasama bagi membuka cawangan baharu Restoran Ah Basri di seluruh negara.
Sementara itu, Pemilik Restoran Ah Basri Juru, Fatin Hanan Muhamad Farid berkata, pelbagai hidangan dan menu baharu akan disediakan di restoran berkenaan yang akan memenuhi citarasa pelanggan terutamanya penggemar sate.
Menurutnya, pemilihan lokasi yang begitu strategik di pusat komersial Setia Sentral ini menjadikan produk Ah Basri setanding dengan restoran terkenal berjenama antarabangsa yang terletak bersebelahan dengan premis mereka.
"Restoran ini lebih berkonsepkan santai dan terletak berhampiran dengan kawasan Rehat & Rawat Juru yang pasti akan menjadi tumpuan.
"Di sini juga orang ramai boleh mendapatkan menu istimewa iaitu nasi planta, nasi lemak dan nasi tomato yang boleh dinikmati bersama sate," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment