Sambutan ambang Hari Kebangsaan itu dihadiri Menteri Besar, Amirudin Shari diiringi isterinya, Masdiana Mohamad, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Majlis dimulakan dengan persembahan tarian yang menggabungkan tarian tradisional tiga kaum terbesar negara Melayu, Cina dan India serta perarakan daripada 62 kontinjen antaranya Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Pengangkutan Jalan serta Pejabat Tanah Daerah Klang.
Selain perarakan, orang ramai dihiburkan dengan persembahan artis seperti Hael Husaini dan Ernie Zakri.
Tepat detik 12 tengah malam, Amirudin melaungkan kata Merdeka sebanyak tujuh kali diikuti orang ramai yang hadir di Dataran Kemerdekaan.
Sementara itu, Amirudin ketika berucap berkata, Hari Kebangsaan adalah bukan sahaja diisi dengan perarakan, percikan bunga api dan juga kibaran bendera sahaja namun ia adalah simbol kebebasan dan pengorbanan yang harus diinsafi.
"Perjalanan 61 tahun ini bukanlah tanpa darah, keringat dan air mata. Perjuangan para perajurit kita menuntut dan mempertahankan keamanan serta kedaulatan negara adalah tunjang makna Hari Kebangsaan.
"Kebebasan yang dikecapi ini tentunya memberi makna yang sangat besar buat kita semua. Kebebasan yang kita pertahankan sepenuh jiwa raga demi masa depan anak cucu," ucapnya.-UTUSAN ONLINE
sumber: utusan
0 comments:
Post a Comment