Skuad pelayaran sumbang satu emas
SAMBUTAN Hari Kebangsaan hari ini amat bermakna buat skuad pelayaran negara apabila berjaya meraih satu pingat emas, satu perak dan tiga gangsa dalam acara berkenaan yang melabuhkan tirai pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di sini, hari ini.
Pelayar muda negara, Muhammad Fauzi Kaman Shah, 16, menghadiahkan pingat emas keenam kontinjen Malaysia selepas mengungguli acara Laser Terbuka 4.7 dengan mengutip 20 mata penalti di Pusat Pelayaran Kebangsaan Indonesia.
Pingat perak dan gangsa dalam acara berkenaan, masing-masih diraih wakil China, Wang Jianxiong (42 mata penalti) dan pelayar wanita India, Tomar Harshita dengan kutipan 62 mata penalti.
Satu lagi wakil negara dalam acara berkenaan, Nor Nabila Natasha Mohd Nazri pula menamatkan saingan di tempat ke-12 daripada 23 peserta dengan kutipan 111 mata penalti.
Pelayar Olimpik negara, Khairulnizam Mohd Afendy yang menjadi atlet pertama negara menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara Laser Standard dengan kutipan 23 mata penalti.
Beliau berkongsi mata dengan pelayar Singapura, Ryan Lo Jun Han, namun juri pertandingan memutuskan pingat perak menjadi milik Khairulnizam selepas kiraan semula dilakukan.
Pingat emas acara berkenaan dimenangi juara bertahan, Ha Jee-min dari Korea Selatan yang mengekalkan emas dimenangi di laman sendiri pada edisi 2014 di Incheon, dengan kutipan 21.8 mata penalti.
Skuad pelayaran negara turut menyumbang tiga pingat gangsa, masing-masing dalam acara Laser Radial menerusi Nur Shazrin Mohamad Latif (36 mata penalti); 470 wanita melalui gandingan Nuraisyah Jamil dan Norashikin Mohamad Sayed (37 mata penalti) serta pasangan Illham Wahab dan Nuur Fatin Solehah Abdul Rahman dalam acara campuran RS One (103 mata penalti).
Kejayaan hari ini amat bermakna untuk Nur Shazrin yang sah mengiringi Khairulnizam ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Emas acara Laser Radial dimenangi pelayar Jepun, Doi Manami dengan kutipan 13 mata penalti, manakala perak diraih atlet China, Zhang Dongshuang yang mengumpul 36 mata penalti.
Gandingan Jepun, Ai Yoshida dan Miho Yoshioka pula mengungguli acara 470 wanita dengan kutipan 12 mata penalti, manakala pasangan Singapura, Elisa Yukie Yokoyama dan Cheryl Teo, terpaksa berpuas hati dengan kutipan perak setelah mengutip 21 mata penalti selepas berakhir 12 pusingan perlumbaan.
Acara RS One diungguli pasangan China, Chen Hao dan Tan Yue yang mengumpul 36 mata penalti, manakala wakil Hong Kong, Kikabhoy Rafeek dan Ma Kwan Ching menggondol pingat perak dengan kutipan 59 mata penalti.
Dalam pada itu, Khairulnizam yang ditemui media Malaysia berkata beliau tetap berbangga dengan pencapaiannya mengekalkan pingat perak yang dimenangi buat kali kedua berturut-turut selepas edisi 2014.
âPerlumbaan hari ini agak sengit memandangkan pelayar Korea Selatan itu memberi tentangan sengit. Pada penanda kedua, bot saya terbalik dan menyebabkan saya gagal mengejar pelumba Korea itu yang jauh ke hadapan dan saya akui ia kesilapan diri sendiri. Namun saya bertekad untuk memperbaiki persembahan saya pada kejohanan seterusnya,â kata anak jati Kedah itu.
Berkongsi pandangan sama adalah Nur Shazrin yang gembira dapat meraih pingat gangsa dalam penampilan sulung pada Sukan Asia.
âSaya gembira dan bersyukur kerana dapat meraih pingat pada aksi pertama saya pada Sukan Asia dan berjaya layak ke Sukan Olimpik. Terima kasih kepada Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, jurulatih dan semua pihak yang membantu persediaan saya menghadapi Sukan Asia kali ini,â jelas anak jati Pahang itu. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment