Lebih baik Filipina ditadbir diktator : Duterte
MANILA - FILIPINA. Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berkata isu rasuah dan dadah begitu meruncing di negara itu, dan sekiranya beliau berundur, lebih baik ia diperintah diktator seperti mendiang Ferdinand Marcos.
Dalam ucapannya kelmarin, Duterte mengulangi hasrat mahu meletak jawatan sebelum penggal pemerintahannya tamat pada 2022, namun keberatan untuk menyerahkan kuasa kepada Leni Robredo, naib presiden yang lantang mengkritik perang anti narkotik presiden berkenaaan.
Duterte menegaskan sekiranya kempen anti dadahnya dihentikan, kekacauan akan berlaku dan ketika itu lebih baik Filipina diperintah kerajaan diktator.
"Lebih baik anda memilih diktator seperti Marcos, itu cadangan saya. Mengikut perlembagan, Robredo adalah pengganti, namun beliau tidak mampu menangani situasi semasa," ujar Duterte.
Presiden berusia 73 tahun itu, sering bercakap mengenai hasrat untuk bersara awal berikutan kebimbangan terhadap isu rasuah dan narkotik yang membelenggu negaranya.
Beliau bagaimanapun menafikan khabar angin yang mengatakan kesihatannya semakin merosot dan menganggapnya sebagai berita palsu. - Reuters
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment