Terengganu FC 1 lakar kemenangan kedua

Saturday, August 11, 2018

Terengganu FC 1 lakar kemenangan kedua

Terengganu FC 1 lakar kemenangan kedua

TERENGGANU FC I meneruskan aksi cemerlang dalam kempen Piala Malaysia 2018 dengan mencatat kemenangan kedua berturut-turut kali ini membenam Perak 4-3 dalam perlawanan Kumpulan A, di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Skuad Sang Penyu selesa mendahului 2-0 pada separuh masa pertama apabila bekas penyerang kebangsaan Mohamad Ashari Samsudin meledakkan  jaringan pertama pada minit kelapan sebelum penyerang import dari Britain Lee Andrew Tuck menggandakan jaringan pada lewat babak pertama.

Bermula babak kedua, anak buah Irfan Bakti semakin mengganas apabila pemain pertahan Wan Ahmad Amirzafran menambah derita buat skuad The Bos Gaurus dengan jaringan ketiga pada minit ke-57  disusuli  jaringan  Faiz Nasir pada minit ke-82.

Perak hanya berjaya mendapat rentak selepas Lee dilayangkan kad merah pada minit ke-70 setelah melakukan terjahan keras terhadap Muhammad Firdaus Saiyadi.

Barisan anak buah Mehmet Durakovic berjaya meledak tiga jaringan pantas di hujung babak kedua  masing-masing menerusi Wander Luiz Junior di minit ke-85 dan ke-89 serta  Leandro Dos Santos di minit ke-90 namun masih gagal menyamakan kedudukan sekali gus menyaksikan Terengganu membawa pulang tiga mata.

Kemenangan itu membolehkan Terengganu FC I mendahului Kumpulan A dengan enam mata manakala Perak di kedudukan ketiga dengan hanya satu mata.

Pada aksi Kumpulan D, Sabah berjaya mencatat kemenangan sulung dalam kempen Piala Malaysia 2018 selepas menundukkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) 1-0 pada perlawanan yang berlangsung  di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Penyerang muda skuad Rhinos, Rahman Shah Marajeh menjadi wira Sabah apabila jaringannya pada lewat permainan di babak kedua memastikan pasukan dari Borneo itu mengutip tiga mata berharga untuk menghuni tangga kedua kumpulan dengan empat mata.

Pahang pula mengekalkan rekod tanpa kalah kali ini dengan menjadikan Selangor sebagai mangsa apabila mengaibkan Gergasi Merah 2-0 di hadapan penyokong sendiri pada aksi di Stadium Shah Alam.

Skuad Tok Gajah mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan pemain pertahanan, Mohamad Muslim Ahmad pada minit ke-30 sebelum Norshahrul Idlan Talaha menambah derita barisan anak buah Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir dengan jaringan kedua pada minit ke-54.

Kemenangan itu menyaksikan Pahang mendahului Kumpulan D dengan empat mata namun perbezaan jaringan membolehkan mereka mengatasi Sabah manakala Selangor di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Sementara itu, pada aksi tunggal Kumpulan B, Melaka gagal menggunakan kesempatan beraksi di laman sendiri apabila sekadar terikat 3-3 menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC).

Beraksi di Stadium Hang Jebat, anak buah E. Elavarasan harus menyalah diri sendiri apabila gagal mempertahankan tiga gol yang dimiliki pada minit ketujuh dan ke-70 menerusi Chang Hoon Lee dan minit ke-79 menerusi Ifedayo Olusegun.

Sebaliknya, barisan anak buah Datuk K. Rajagobal tidak berputus asa mencari gol sehingga ke wisel penamat  dan hasilnya mereka berjaya menyumbat tiga gol dalam masa perlawanan berbaki hanya empat minit, menerusi  Romel Oswaldo pada minit ke-87, Bruno Oliveira (minit ke-88) dan Rafael Ramazotti  (masa  kecederaan).

Kebangkitan penuh dramatik PKNS FC untuk mengikat kedudukan itu nyata berbaloi apabila mereka kini memimpin Kumpulan B dengan empat mata manakala Melaka pula ditangga kedua dengan mengumpul dua mata. - Bernama
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment