Kerajaan Kelantan nafi sesuka hati roboh sekatan Orang Asli

Thursday, August 30, 2018

Kerajaan Kelantan nafi sesuka hati roboh sekatan Orang Asli

Kerajaan Kelantan nafi sesuka hati roboh sekatan Orang Asli

KUALA LUMPUR - Kerajaan Kelantan menafikan bertindak sesuka hati merobohkan sekatan pembalakan yang dibina masyarakat Orang Asli di tiga kawasan di Gua Musang pada 27 Ogos lalu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, ini kerana keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak termasuk masyarakat Orang Asli sendiri, selain pandangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan juga mahkamah.

“Kerajaan (negeri) sudahpun beri masa yang lama. Jadi pihak berwajib terpaksa mengambil tindakan sepatutnya. Malah ada juga Orang Asli termasuk penghulu jumpa saya mengadu tidak mendapat hasil kerana sekatan tersebut.

“Kita juga sudah jumpa Suhakam dan mereka terima baik pandangan kita. Kita tidak bertindak sesuka hati. Malah kita mengikut keputusan mahkamah baru-baru ini. Kita bagi mereka tanah untuk tinggal dan bercucuk tanam, dan mencari hasil (hutan).

"Mana-mana tanah yang mempunyai masalah, kita gazetkan sebagai tanah perlindungan,” katanya selepas ditemui pada majlis pelancaran Institut Dakwah Antarabangsa Perkim Kuala Lumpur (IDIPKL) oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dilapor, masyarakat Orang Asli telah menghalang pencerobohan di tanah didakwa milik mereka dengan membina sekatan di Kampung Depak di Pos Tohoi, Kampung Cawas di Pos Bihai dan Kuala Wok Wok di Pos Pasik, Gua Musang.

Kerajaan Kelantan bertegas bahawa tanah yang didakwa milik Orang Asli itu adalah hak milik kerajaan negeri dan telah memberi lesen untuk tujuan pembalakan.

Awal bulan ini, kira-kira 200 Orang Asli menemui Dr Mahathir di Putrajaya dan memohon campur tangan Kerajaan Persekutuan dalam menyelesaikan kemelut tersebut. -Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment