Dirgahayu Malaysia, sayangi negaraku
ESOK Malaysia bakal menyambut Hari Kebangsaannya yang ke-61. Sambutan itu disambut setiap tahun bersempena dengan detik bersejarah merdekanya Tanah Melayu daripada cengkaman British pada 31 Ogos 1957.
Sejak detik itu, Tanah Melayu dan seterusnya Persekutuan Malaysia yang dibentuk pada 1963 pula telah berkembang maju seiring peredaran masa sebagai sebuah negara bangsa.
Telah banyak kejayaan yang dicatatkan Malaysia dalam tempoh itu yang boleh dianggap sebagai luar biasa.
Maklumlah sebagai sebuah negara yang baru 61 tahun merdeka, pencapaian ekonomi dan kepesatan kemajuan yang dikecapi Malaysia dikagumi, dicemburui malah ditiru oleh dunia.
Pada permulaan, ramai yang tidak percaya Malaysia mampu mencapai tahap sepertimana hari ini.
Beberapa faktor dijadikan hujah sebagai alasan mengapa ianya akan berlaku. Pertama, komposisi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan sifatnya yang terpisah dalam segenap aspek; baik ekonomi, politik mahupun sosial bakal menghambat Malaysia berkembang sebagai sebuah negara bangsa.
Kedua, bukan sahaja masyarakat majmuk di Malaysia ini terpisah dalam segenap aspek secara fizikal, tiada usaha serius untuk mengurangkan jurang keterpisahan itu baik sebelum ataupun pada peringkat awal kemerdekaan.
Dan ketiga, setiap kelompok kaum yang rencam itu pula kuat mempertahankan status quo kaum masing-masing menerusi jalur ras ataupun etnonasionalisme.
Dalam masa yang sama, legasi âpecah dan perintahâ British terhadap sosioekonomi Malaysia dengan mengklasifikasikan sektor ekonomi mengikut kaum turut menyumbang kepada kebimbangan itu.
Ini akhirnya menjadi nyata apabila tragedi 13 Mei 1969 yang berlaku banyak dikaitkan dengan isu kesenjangan ekonomi antara Melayu vs. Bukan Melayu dalam konteks âhigh expectation, high frustrationâ yang pada ketika itu gagal ditangani oleh kerajaan secara bersungguh-sungguh.
Sungguhpun begitu, walaupun ada catatan hitam sejarah itu dan segala macam ramalan serta pendapat, Malaysia terus bangkit dengan gagah sehingga berjaya membuktikan bahawa ia mampu menangani dan mengatasi semua ramalan-ramalan tersebut. Persoalannya mengapa ia berjaya?
Pertama, kunci utama kejayaan ini disumbangkan oleh politik permuafakatan antara kaum yang diasaskan menerusi formula kongsi kuasa.
Kebijaksanaan kepemimpinan terdahulu terutamanya Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman mengemukakan konsep bekerjasama dalam suatu pakatan bersifat akomodasi di mana setiap kaum akan sama-sama berkongsi kuasa mentadbir negara dan ada wakil masing-masing di dalam kerajaan.
Apabila pakatan ini diperluaskan setelah Sabah dan Sarawak bergabung membentuk Persekutuan Malaysia, formula ini diperluaskan dengan mengekalkan konsep yang sama.
Walaupun ada kritikan, formula ini berjaya mengekalkan kestabilan politik dan menghalang sentimen perkauman daripada mengganggu gugat perjalanan harian kerajaan. Dengan hampir semua kaum yang ada di Malaysia diwakili menerusi parti politik kaum masing-masing dalam sebuah grand coalition sepertimana Barisan Nasional (BN) selepas 1974, Malaysia mengecapi pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan pesat membangun disebabkan kestabilan politik akibat dari kerjasama tersebut.
Malah, apabila BN tumbang dalam PRU14, peralihan kerajaan berlaku dengan baik dan aman tanpa ada sebarang masalah juga disebabkan faktor itu.
Kedua, dasar-dasar kerajaan yang proaktif dan berkesan dilihat menyumbang kepada kejayaan itu. Kejayaan dasar-dasar affirmatif kerajaan terutamanya Dasar Ekonomi Baru (DEB), banyak memainkan peranan terhadap itu.
Ini adalah kerana, DEB berjaya merapatkan jurang kesenjangan ekonomi antara kaum apabila kaedah penyelesaian politik menerusi pendekatan ekonomi secara serampang dua mata benar-benar merubah segalanya.
Dengan strategi membasmi kemiskinan kepada semua kaum dan menyusun semula struktur sosioekonomi rakyat yang seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi telah berjaya melebarkan peratusan golongan kelas menengah dan keseimbangan tenaga kerja dalam sektor-sektor tertentu yang sebelumnya sinonim dan didominasi oleh kaum-kaum tertentu.
Dua faktor inilah yang banyak membentuk dan mencorakkan Malaysia yang kita warisi hari ini.
Benar ada juga beberapa faktor lain yang turut sama memainkan peranan tetapi tidak begitu signifikan sepertimana yang dua ini. Walaupun kita masih jauh untuk membentuk satu bangsa Malaysia sepertimana yang diharapkan, tetapi faktor-faktor inilah kanvas asas kita yang mencorakkan pembentukan bangsa Malaysia.
Tidak dinafikan bahawa akomodasi kaum yang berlaku dalam membentuk bangsa Malaysia ini kelihatan longgar dan kurang mujarab berbanding assimilasi sepertimana yang diamalkan oleh jiran-jiran kita di Singapura, Indonesia malah Thailand, sekurang-kurangnya Malaysia telah membuktikan bahawa hal ini efektif dalam mengawal dan mengekalkan kestabilan politik dalam kerangka dan acuan Malaysia.
Syukur kita tidak pernah lagi menyaksikan rusuhan kaum seperti tragedi 13 Mei berlaku di Malaysia. Kita juga tidak menghadapi sebarang masalah menuntut pemisahan wila-yah (separation) sepertimana di Indonesia dan Thailand.
Semua adalah kerana asas yang betul diletakkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu yang ikhlas dan berjiwa besar. Hubungan kaum yang tegang tapi stabil ini berjaya ditangani dengan baik menerusi akomodasi politik dan kaum yang baik. Namun begitu, si-kap cepat berpuas hati dengan keadaan ini harus segera dikikis.
Ini adalah kerana keadaan ini tidak selamanya boleh dikekal tanpa ada sebarang usaha penambahbaikan berterusan. Akan sentiasa ada cabaran dan halangan baharu mendatang, baik dari dalam mahupun luar, yang berusaha untuk menjahanamkan apa yang kita miliki hari ini.
Selamat menyambut hari kebangsaan Malaysia. Dengan sambutan kali ini menyaksikan peralihan pemerintahan di Putrajaya di tangan kerajaan yang baharu, maka bentuklah Malaysia yang lebih baik dan gemilang dari sebelumnya.
Semoga Malaysia terus maju, disegani dan dicontohi seperti selalu. Dirgahayu Malaysia, Sayangi Malaysiaku, Malaysiamu, Malaysia kita semua.
*Penulis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment