Lebih 23,000 pesakit dirawat di hospital medan Cox's Bazar

Wednesday, August 29, 2018

Lebih 23,000 pesakit dirawat di hospital medan Cox's Bazar

Lebih 23,000 pesakit dirawat di hospital medan Cox's Bazar

KUALA LUMPUR â€" Lebih 23,000 pesakit telah dirawat di Hospital Medan Malaysia (HMM) di Cox’s Bazar, Bangladesh sejak ia mula beroperasi pada Disember 2017.

Panglima Angkatan Bersama Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman berkata selain itu sebanyak 754 prosedur pembedahan kecemasan dan elektif yang menyelamatkan  nyawa telah dilakukan di samping 59 prosedur menyambut kelahiran bayi dan 1,813 rawatan pergigian.   

“Semua petugas telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugas masing-masing dan ia merupakan kejayaan bagi ATM (Angkatan Tentera Malaysia),” katanya kepada pemberita  selepas menyambut  kepulangan Tim Operasi Starlight â€" 1 di WismaTransit di sini hari ini.

Tim Operasi Starlight â€" 1 yang tiba di tanah air hari ini,  merupakan kumpulan pertama ATM yang telah mengambil alih pengoperasian HMM daripada Kementerian Kesihatan Malaysia sejak Februari 2018.

Tim Operasi Strarlight â€" 2 yang terdiri daripada 56 petugas pula berangkat ke HMM Cox’s Bazar pada 23 Ogos dan semalam bagi meneruskan misi sukarelawan ini.

Menurutnya, sepanjang operasi HMM telah menerima kerjasama daripada pelbagai agensi antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Persatuan Bantuan Perubatan (Mercy) Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan mengusulkan cadangan supaya kesemua petugas di HMM diberikan pingat sebagai menghargai jasa mereka.

“Saya akan usulkan cadangan ini supaya mereka diberi pengiktirafan atas jasa dan komitmen yang diberikan,” katanya.

Sementara itu, Syed Zahiruddin Putra ketika ditanya mengenai cadangan untuk tempoh pengoperasian HMM di Cox’s Bazar dilanjutkan selama setahun lagi, beliau berkata pihaknya menyambut baik cadangan itu dan bersedia untuk menempatkan anggotanya semula di hospital berkenaan.

Semalam, Bernama melaporkan Kementerian Pertahanan akan mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan.   

Hospital itu yang beroperasi membantu pelarian Rohingya dari wilayah Arakan, Myanmar akan  menamatkan perkhidmatannya pada 31 Dis depan. -Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment