Mencari kemanusiaan dan intelektual

Wednesday, August 29, 2018

Mencari kemanusiaan dan intelektual

Mencari kemanusiaan dan intelektual

CERITA penglipur lara tentang Mat Jenin memang menghiburkan dan memberi pengajaran kepada pembaca. Cerita yang berkonsepkan angan-angan dan usaha ini walaupun kelihatannya tidak masuk akal dan hanya impian kosong, sebenarnya perlu dilihat dari sudut positif.

Mat Jenin tidak mimpikan kekayaan dengan mudah. Sebaliknya dia berusaha dari peringkat awal dan setiap peringkat perancangannya boleh diterima akal.

Realitinya, begitulah imaginasi setiap individu apabila memikirkan tentang kehadiran Industri 4.0. Imaginasi dan telahan yang dibuat seharusnya disusuli dengan tindakan perubahan dan penambahbaikan.

Pelbagai persoalan mungkin timbul dalam benak fikiran setiap individu. Adakah masih ada ruang pekerjaan buat graduan? Adakah kelulusan yang mereka peroleh diperlukan dalam pasaran kerja? Adakah keselamatan kerjaya (job security) mereka terjamin? Adakah khidmat mereka masih diperlukan oleh organisasi pada masa hadapan? Adakah kontrak kerja mereka bakal disambung? Adakah kemahiran semasa mereka mencukupi untuk mendepani masa hadapan?

Inilah antara seribu satu persoalan yang menerjah minda individu pekerja, graduan dan bakal graduan. Perasaan bimbang, cemas dan takut dalam diri individu untuk menghadapi perubahan yang bakal berlaku disebabkan oleh Industri 4.0 bertambah apabila pendedahan media berkaitan Industri 4.0 lebih cenderung menggembar-gemburkan aspek kecanggihan dan kehebatan teknologi dan automasi yang bakal mengganti tenaga manusia.

Lakukan perubahan

Janganlah tinggalkan persoalan dan perasaan ini berlalu begitu sahaja. Sebaliknya, perubahan perlu dilakukan pada masa kini dalam membangun dan membentuk diri agar berdepan dengan Industri 4.0 dengan penuh keyakinan dan cemerlang.

Penyelidikan pengurusan sumber manusia menunjukkan bahawa walaupun dunia masa hadapan menunjukkan penguasaan teknologi dan automasi, namun kehebatan ini tidak dapat menandingi kelebihan yang ada pada manusia. Teori dan penyelidikan, masih meletakkan elemen kemanusiaan dan intelektual sebagai kunci kejayaan mendepani Industri 4.0.

Antara kemahiran baru yang diperlukan mendepani Industri 4.0 adalah kecerdasan emosi, perundingan dan keluwesan kognitif. Melihatkan kepada perubahan keperluan ini, pihak pengurusan sumber manusia perlu memberi tumpuan yang lebih kepada penyediaan sumber manusia yang mempunyai kemahiran baru ini.

Sebenarnya fungsian pengurusan masih lagi sama seperti apa yang dilaksanakan sekarang dan diperlukan dalam era Industri 4.0 walaupun organisasi pada masa tersebut dikuasai oleh teknologi dan automasi berbanding manusia.

Walaupun begitu, tumpuan pengurusan sumber manusia menjurus kepada memenuhi kemahiran manusia, reka bentuk dan struktur pengurusan organisasi serta pembangunan sistem dan infrastruktur Industri 4.0 itu sendiri. Justeru, strategi-strategi berikut boleh dipertimbangkan dalam menjayakan pengurusan sumber manusia pada masa hadapan.

Pengambilan dan pemilihan sumber manusia lebih memberi tumpuan kepada kemahiran dan kompetensi berteraskan keperluan Industri 4.0. Pasaran kerja masa hadapan bakal dipenuhi dengan individu atau tenaga kerja berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran kritis.

Kajian juga menunjukkan individu yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan ditambah dengan berfikiran kritis serta kreatif menjadi buruan majikan masa kini dan masa hadapan. Situasi ini akan memperlihatkan persaingan sesama calon dalam temu duga dan pastinya akan memihak kepada individu yang memiliki dan menguasai kompetensi yang diperlukan oleh Industri 4.0.  

Penyelidikan juga menunjukkan keutamaan organisasi pada masa hadapan untuk memilih calon yang komited dan sensitif kepada isu persekitaran.

Latihan dan pembangunan

Latihan dan pembangunan sumber manusia organisasi perlu dilaksanakan secara sistematik dan berterusan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pekerja seiring keperluan Industri 4.0.

Kemahiran masa hadapan dijangka lebih tertumpu kepada bidang simulasi dan realiti maya, integrasi sistem, industri internet of Things (IoT), keselamatan siber, pengkomputeran awan, rantaian bekalan, analisis data raya dan robotik. Ilmu dan kemahiran berkaitan kelestarian alam sekitar, teknologi hijau dan isu-isu persekitaran juga perlu diberi penekanan dan dijadikan kandungan utama dalam program latihan dan pembangunan.

Pengurusan ganjaran akan beralih sepenuhnya kepada sistem digital. Ini akan memberi kesan ke atas kecekapan pelaksanaannya. Kecekapan itu akan dapat dicapai melalui modul yang terdapat dalam Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS). Sistem ini akan mempercepatkan masa pemprosesan dan menambah baik produktiviti individu dan organisasi.

Seterusnya, kajian juga menunjukkan ganjaran kewangan dan bukan kewangan perlu digalakkan kepada individu yang berkelakuan atau mempunyai sikap memperkasakan pengurusan persekitaran pekerjaan.

Penilaian prestasi konvensional yang menilai tugas rutin dan berstruktur tidak lagi signifikan dalam era Industri 4.0. Penilaian prestasi sumber manusia akan lebih menumpu kepada pencapaian individu/ kumpulan dalam inovasi dan teknologi. Kriteria penilaian prestasi juga akan berubah kepada komitmen individu/ kumpulan kepada usaha menjayakan aspirasi teknologi automasi.

Kajian menunjukkan organisasi akan menilai hasil yang berkait persekitaran pekerja dengan operasi dan matlamat keseluruhan organisasi.  

Kesihatan pekerjaan

Industri 4.0 memerlukan sumber manusia yang sihat dari segi fizikal, mental, spiritual dan emosi. Tanpa ciri-ciri ini, matlamat organisasi mendepani Industri 4.0 tidak akan tercapai. Kos, kecekapan, keberkesanan dan produktiviti yang diharapkan tidak menjadi kenyataan apabila nilai kemanusiaan tidak dipentingkan dalam organisasi.

Justeru, pengurusan sumber manusia perlu menambah baik kesedaran individu dan kumpulan dalam mengamalkan gaya hidup sihat dalam menjayakan matlamat individu dan organisasi.

Amalan dan konsep pengurusan sumber manusia masa hadapan seperti yang dihuraikan di atas hanyalah garis panduan umum sahaja dan kejayaan pelaksanaannya memerlukan komitmen pelbagai pihak.

Teori dan dapatan kajian pengurusan sumber manusia menunjukkan dimensi kemanusiaan yang terdiri daripada mental, emosi dan rohani memainkan peranan penting dalam strategi menghasilkan sumber manusia yang lestari dalam mendepani Industri 4.0.

Penekanan dimensi kemanusiaan bersama integrasi pengurusan persekitaran dalam amalan pengurusan sumber manusia akan menjelmakan organisasi dalam tadbir urus baharu yang lebih lestari dan berdaya saing.

* Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment