KKM kenal pasti 10 premis jual ubat tak berdaftar

Thursday, August 30, 2018

KKM kenal pasti 10 premis jual ubat tak berdaftar

KKM kenal pasti 10 premis jual ubat tak berdaftar

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius isu penjualan ubat yang tidak didaftar yang didakwa didalangi warga Bangladesh di sekitar Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, KKM terpanggil untuk mengulas lebih lanjut mengenai satu laporan media yang bertajuk ''Doktor' Bangla Mini Dhaka' yang disiarkan pada 23 Ogos lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati, terdapat 10 premis yang disyaki digunakan untuk menjual ubat tidak berdaftar kepada warga asing di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin (Jalan Silang) di ibu kota.

“Kawasan ini adalah lokasi tumpuan membeli-belah warga asing terutamanya warga Bangladesh dan kebanyakan pembeli ubat tidak berdaftar ini adalah dalam kalangan warganegara itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap premis perniagaan berkenaan dan merampas 280 jenis ubat tidak berdaftar bernilai lebih RM200,000 untuk siasatan lanjut.

“Ubat yang tidak berdaftar yang dirampas juga disyaki mengandungi racun berjadual seperti ubat antibiotik (Cefuroxime, Metronidazole), ubat penahan sakit (injeksi Tramadol, injeksi Ketoprofen) dan ubat penenang (injeksi Diazepam).

“Premis perniagaan ini juga pernah diambil tindakan penguatkuasaan pada tahun 2016 dan 2017 lalu,” katanya yang turut memaklumkan lokasi serbuan menjadi antara 80 kawasan hotspot tegar penjualan produk tidak berdaftar.

Kenyataan KKM turut memaklumkan, pelan tindakan ini mensasarkan kawasan hotspot yang dikenal pasti di seluruh negara itu bebas dari penjualan produk tidak berdaftar menjelang 2020.

“Susulan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan, premis tegar menjual produk tidak berdaftar di kawasan hotspot seluruh negara dilaporkan menurun sebanyak 63.3 peratus pada tahun lalu.

“Selain itu, penguatkuasaan farmasi turut giat menjalankan pemantauan secara berterusan dengan kerjasama Kastam melalui aktiviti pemeriksaan dan penyaringan semua produk kesihatan di semua pintu masuk negara,” katanya.

Penjualan ubat-ubatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Pengambilan ubat yang mengandungi racun berjadual sebagai ubat terkawal oleh orang awam juga mestilah melalui diagnosis seorang pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan rawatan atau dibekalkan oleh seorang ahli farmasi berlesen dengan preskripsi yang sah.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

Denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. Bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment