Peniaga atas talian ditipu pembeli
KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga atas talian terpaksa gigit jari kerana menanggung kerugian lebih RM1,000 selepas ditipu pembelinya, dalam kejadian Selasa lalu.
Mangsa, 24, yang masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam, di sini, baru berjinak dalam dunia perniagaan atas talian dengan menjual pakaian terpakai.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, sebelum kejadian, gadis itu dihubungi seorang pelanggan yang berminat membeli baju terpakai dijual dengan harga RM28.
"Pembeli tersebut memaklumkan sudah memasukkan RM500 ke dalam akaun diberi, bagaimanapun mangsa mendapati duit dimaksudkan masih tidak diterima.
"Mangsa diberitahu oleh pembeli itu sekiranya ingin mendapatkan wang tersebut, dia perlu memasukkan wang ke dalam akaunnya berjumlah hampir RM1,500.
"Disebabkan tiada pengalaman berniaga di atas talian, mangsa akur dengan arahan diberikan sebelum sekali lagi diarahkan memasukkan RM2,000 dengan alasan wang itu masih tidak mencukupi," katanya.
Idris berkata, mangsa tidak dapat patuhi arahan itu kerana tidak memiliki jumlah wang diminta sebelum tersedar dirinya sudah ditipu pembeli tidak dikenali.
Katanya, mangsa membuat laporan polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment