Paras air Empangan Sungai Lebam kritikal: Exco

Thursday, August 30, 2018

Paras air Empangan Sungai Lebam kritikal: Exco

Paras air Empangan Sungai Lebam kritikal: Exco

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor berkemungkinan akan mengambil inisiatif pemindahan air dari kawasan empangan air lain untuk menampung keperluan masyarakat terutamanya Johor Selatan sekiranya bekalan air tidak mencukupi berikutan paras air di Empangan Sungai Lebam dekat Kota Tinggi, kini berada di tahap kritikal.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata kawasan Johor Selatan merupakan kawasan pengguna air paling tinggi di Johor dan jumlah bekalan di empangan berkenaan dikhuatiri tidak mencukupi.

Menurutnya, kawasan takungan air itu kini berada di paras 11.48 meter iaitu melepasi paras kritikal 12.32 meter, ekoran musim cuaca panas yang dijangka berlarutan sehingga Oktober depan.

“Jabatan Meteorologi melaporkan sekiranya cuaca panas dan kekurangan hujan ini berterusan selama dua bulan ini, kita (kerajaan negeri) terpaksa melakukan catuan air kerana bekalan air sedia ada dijangka hanya mampu bertahan selama 60 hari bermula hari ini.

“Kawasan takungan air Empangan Sungai Lebam adalah antara yang terpenting kerana ia membekalkan sebanyak 45 juta liter air sehari untuk menampung lebih sejuta pengguna di Johor Selatan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Perindustrian Frontier, Ulu Tiram, di sini, hari ini.

Puah berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas bersama agensi-agensi berkaitan bagi membincangkan kaedah penyelesaian dan pemindahan air sekiranya perlu dari kawasan empangan yang lain.

“Kita lihat keadaan dan cuaca macam mana, kalau hujan berterusan, kita mungkin tidak perlu pindah air dari kawasan lain tetapi kalau cuaca terus panas, kita terpaksa memulakan proses pemindahan.

“Penurunan paras air ini telah mula dikesan sejak awal Ogos lalu dan sehingga hari ini empangan lain masih berada pada paras bacaan yang baik melainkan Empangan Sungai Lebam. Kita cuma berharap paras air tidak turun sehingga ke paras catuan iaitu 9.69 meter,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak mahu lagi kembali berhadapan dengan masalah catuan air  selepas mengambil kira pengalaman 2015 yang menjejaskan aktiviti harian semua penduduk.

"Walaupun buat masa ini hanya Sungai Lebam sahaja terjejas, kami tetap akan memantau keadaan kawasan lain terutama yang membekalkan air ke Kluang dan Mersing kerana dua daerah ini selalu terjejas sekiranya kemarau,” katanya.

Puah berkata pada masa sama, beliau berharap penduduk akan menggunakan air dengan berhemah seperti mencuci kereta seminggu sekali dan mengurangkan penggunaan dalam aktiviti harian. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment