Hargai jasa Senoi Praaq
GUA MUSANG - Kerajaan negeri perlu menghargai jasa dan keringat pahlawan Orang Asli, Senoi Praaq di zaman darurat dengan mengiktiraf tanah adat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Orang Asli PH Kelantan, Mohd Fauzi Mohd Azmi berkata, Orang Asli adalah penyumbang utama dalam membantu negara keluar dari zaman darurat dan pembebasan kawasan hitam daripada cengkaman komunis.
Menurutnya, sebelum ini, ada tuduhan dibuat kononnya ketika zaman darurat, Orang Asli membantu melindungi komunis.
Jelasnya, tuduhan itu dibuat mungkin kerana ramai yang tidak tahu perjuangan pahlawan Senoi Praaq, yang mana antara mereka adalah dari suku Kaum Temiar selain Semai, Semelai dan Temuan.
"Senoi Praaq dikenali sebagai 'silent killer' dan komunis memilih melarikan diri daripada berhadapan dengan pahlawan ini. Agensi Perisikan Pusat (CIA) sendiri pernah menggunakan khidmat mereka di Laos.
"Namun kini, selepas puluhan tahun merdeka, anak cucu bekas Senoi Praaq terpaksa menyambung perjuangan bapa dan datuk mereka. Namun bukan untuk pembebasan negara dari penjajah luar, sebaliknya bagi mendapatkan hak ke atas tanah adat mereka," katanya.
Mohd Fauzi berkata, beliau yakin kerajaan negeri tidak akan muflis jika mengiktiraf beberapa kawasan dalam hutan simpan sebagai tanah adat Orang Asli sebagaimana yang menjadi tuntutan mereka.
"Apa sangat pengiktirafan sebahagian kecil hutan simpan sebagai tanah adat berbanding dengan keamanan dan keharmonian yang kita kecapi hari ini.
"Mereka (Orang Asli) membuktikan bahawa hutan lebih selamat dan terpelihara di bawah jagaan mereka. Kenanglah jasa mereka, berikan hak mereka. Mereka telah berkorban nyawa dan hasilnya sedang kita nikmati hingga ke hari ini," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment