Hiasan 600 Jalur Gemilang bukan kerana pertandingan

Thursday, August 30, 2018

Hiasan 600 Jalur Gemilang bukan kerana pertandingan

Hiasan 600 Jalur Gemilang bukan kerana pertandingan

SEREMBAN -  Jika tahun lalu lebih 500 jalur gemilang yang menghiasi rumahnya di Taman Pelangi, Sikamat di sini, kini dia menambah lebih 100 lagi jalur gemilang semata-mata bagi menterjemahkan rasa cintanya terhadap negara sempena bulan kemerdekaan ini.

Malah Koperal Zulkarnain Kasmuri,55, juga sanggup  menempah gegantung ucapan selamat menyambut hari kebangsaan berserta gambar keluarganya untuk diletak di hadapan pintu masuk rumahnya.

Dia yang memenangi tempat pertama peringkat negeri pertandingan menghias rumah dengan jalur gemilang  tahun lalu, berkata, dia menghias rumah dengan bendera bukan kerana pertandingan, sebaliknya kerana rasa cintakan negara.

Zulkarnain menghias replika KLCC yang dibuatnya

“Mungkin ada yang cakap saya sanggup berhabis duit menghias rumah kerana mahu masuk pertandingan. Tapi sebenarnya sejak 10 tahun lalu setiap kali bulan Ogos, menjadi acara wajib untuk saya hiasi rumah dengan bendera.

“Tahun ini saya peruntukkan kira-kira RM600 dan kebanyakannya saya guna bendera dan barang-barang kitar semula,” katanya kepada Sinar Harian.

Rumah burung dihias Jalur Gemilang

Jadi ikutan jiran tetangga

Anggota yang bertugas di Balai Polis Chembong, Rembau itu gembira apabila minatnya itu turut menjadi ikutan dalam kalangan jirannya sehingga diadakan pertandingan menghias rumah sempena bulan kemerdekaan.

Menurutnya, minatnya itu turut mendapat sokongan daripada isteri dan lima anaknya yang turut membantu menghias rumah mereka.

“Biasanya saya akan mula hias rumah selepas waktu kerja sehingga lewat tengah malam.  Saya tak rasa penat, tapi seronok bila tengok rumah dihias cantik.

“Antara kelainan yang saya tampilkan kali ini ialah buat meriam menggunakan buluh, kapal, wau dan menghias basikal dan televisyen terpakai dengan bendera,” katanya.

Zulkarnain kreatif menghasilkan pelbagai hiasan menggunakan bendera

Zulkarnain berkata, erti merdeka baginya tidak ada lain melainkan keamanan dan kesejahteraan yang dimiliki dapat dipertahankan selain rakyat di negara ini bebas daripada melakukan perkara menyalahi undang-undang.

“Melihat segelintir golongan muda yang tak mengendahkan bulan kemerdekaan, hati saya sedikit terkilan dan mengharapkan peranan setiap ibu bapa juga untuk memberikan dorongan.

“Sebab itu saya ajak semua anak-anak untuk turut sertai aktiviti menghias dan memasang bendera di rumah, supaya mereka bersemangat raikan bulan kebangsaan,” katanya.  

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.874330.1535682829!/image/image.jpg

Zulkarnain bersyukur kerana isteri dan anaknya rajin membantu

Sementara itu, isterinya Zanariah Yusof, 50, berkata, ini adalah rutin suaminya setiap tahun dan selalunya akan duduk di hadapan rumah sambil memikirkan idea-idea kreatif untuk menghiasi rumah mereka..

“Suami saya amat meminati landskap dan akan menghias rumah ini dengan bendera serta mengumpul barang-barang antik seperti almari lama, seterika dan basikal tua.

“Kita nak hias itu pun satu hal, belum lagi nak membuka dan mengemaskan semula. Tapi, sebagai isteri saya kagum dengan semangat suami,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment