Sebuah filem arahan Syamsul Yusuf, Munafik 2 mencipta rekod tersendiri apabila berjaya mengutip RM2.05 juta pada tayangan awal (sneak preview) baru-baru ini.

Filem terbitan Skop Productions dan President Productions ini mendapat sambutan hangat oleh penonton sekaligus filem ini berjaya memadamkan rekod yang dicatatkan oleh Hantu Kak Limah pada awal bulan ini.

Jumlah kutipan itu turut disahkan oleh penerbitnya, Datuk Yusof Haslam dengan merangkumi tayangan di Malaysia, Brunei dan Singapura.

Mengulas lanjut mengenai kejayaan ini, Syamsul hanya mampu mengucapkan jutaan terima kasih kepada penonton atas sokongan sehingga berjaya mencecah kutipan yang tinggi dalam filem tempatan.

“Saya hilang kata-kata, hanya mampu cakap Alhamdulillah. Jutaan terima kasih saya ucapkan di atas sokongan penonton.

“Saya harap momentum ini akan berterusan. Mencipta rekod kutipan tayangan awal paling tinggi bagi filem tempatan adalah di luar jangkaan saya.

“Saya terima dengan penuh syukur. Tak sia-sia pengorbanan saya dan pasukan produksi dalam menyiapkan filem ini apabila dihargai peminat sebegini rupa,” katanya.

Filem ke-10 arahan Syamsul itu turut dibintangi beberapa barisan pelakon popular seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan Fauzi Nawawi.

Untuk rekod, filem Munafik yang ditayangkan pada tahun 2016 telah berjaya meraih kutipan keseluruhan sebanyak RM17 juta.