Tugas penyokong adalah menegur

Friday, August 31, 2018

Tugas penyokong adalah menegur

Tugas penyokong adalah menegur

KELAB Penyokong Bolasepak Jaguh Utara (JUFC) baru dibentuk tiga tahun lalu namun muncul antara kelab yang aktif menegur Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan pasukan Lang Merah melalui medium cetak dan juga laman media sosial.

Ikuti pandangan penyokong Kedah terhadap Lang Merah bagi musim 2018 setakat ini melalui kupasan Pengerusi Kelab Penyokong Jaguh Utara, Mohd Safarizal Mohd Sobri bersama Wartawan Sinar Harian Kedah, Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor.

Soalan : Boleh terangkan sedikit sejarah dan tujuan penubuhan JUFC?

Safarizal : Kelab ini ditubuhkan pada 2015 dan masih dalam proses pendaftaran di Jabatan Perdaftaran Pertubuhan Malaysia (Ros). Sekarang kita aktif di media sosial di mana mempunyai pengikut sehingga 2,000 orang. Tujuan penubuhan kelab ini  adalah menyokong bola sepak Kedah. Slogan kami sokong habis-habisan, kritik untuk kecemerlangan.

Apabila team dalam satu perjalanan mengharungi setiap perlawanan kami akan sokong dan pada waktu sama lantang mengkritik pengurusan jika ada keputusan dibuat tanpa pengetahuan bersama penyokong di Kedah.

Kami mahu gerakkan mereka dari tertidur, jika nampak ada ke arah negatif, tugas kami adalah untuk menegur.

Alvaro (dua kanan) gagal membuktikan dirinya sebagai pilihan tepat untuk membarisi pertahanan Kedah musim 2018.- Foto: Ahmad Zaki Osman

Soalan : Setakat ini dalam saingan Piala Malaysia Kedah mampu mara ke final pada 2015, 2016 dan 2017. Pada tahun ini pandangan JUFC, mampu ke kita buat kejutan lagi?

Safarizal : JUFC percaya Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) ada sasaran selepas bermula agak perlahan. Satu kerugian bagi kami jika pasukan gagal melakukan kejutan lagi pada 2018 memandangkan reputasi kita sebelum ini begitu gah.

Soalan : Prestasi Kedah dalam saingan Liga Super 2018 agak terumbang-ambing pada permulaan, meningkat pada pertengahan namun kembali merundum pada penghujung

Safarizal : Kami berpendapat banyak faktor menjadi punca. Pada awal musim kita berbangga dengan kehadiran Ramon Marcote namun selepas hambar pada empat hingga lima perlawanan, KFA ambil tindakan drastik untuk merehatkan beliau.

Tugas tersebut diambil alih oleh Mohd Nidzam Adzha Yusoff dan selepas itu nampak ada sedikit peningkatan. Prestasi kembali merundum sewaktu bulan puasa di mana perlawanan sepatutnya kita menang boleh kalah. Di sini bermulalah kembali prestasi tidak konsisten Kedah ditambah pula dengan kecederaan pemain termasuk panggilan mewakili pasukan kebangsaan senior dan bawah 23 tahun.

Apabila Liga Super berakhir, kita masih lagi boleh berbangga kerana pasukan berada di tangga keenam selepas melalui pelbagai cabaran.

Kini pada kempen Piala Malaysia pula, Nidzam pula direhatkan dan pasukan kini dikendalikan oleh pemangku iaitu Azzmi Azmi. Sekarang mungkin pemain sedang menyesuaikan diri dengan formasi yang cuba dipratikkan oleh Azzmi pula.

Tindakan Rangel (belakang) yang ingkar arahan untuk turun memanaskan badan mengejutkan penyokong Kedah.- Foto: Ahmad Zaki Osman

Soalan : Bagaimana pula dengan faktor pemain atau kualiti pemain import yang berada di dalam pasukan Kedah?

Safarizal : Secara peribadi, saya melihat pemain import pada awal musim nampak ketara pada bahagian serangan di mana kehadiran Pablo Pallares tidak mendatangkan impak. Kita ganti dengan Paulo Rangel. Tetapi dengan sikapnya pula seperti baru-baru ini boikot sesi memanaskan badan sebelum perlawanan hanya kerana nama tiada dalam kesebelasan utama. Tidak pernah berlaku dalam sejarah pasukan.

Begitu juga dengan pemain import pertahanan, Alvaro Silva, beliau boleh bermain tetapi tidak mampu mengetuai bahagian pertahanan.

Pasukan kita bukan tidak mampu menjaringkan gol namun pada waktu yang kita juga bolos dengan jumlah hampir sama di laman lawan. Kita mampu mencari gol namun pada waktu sama juga mudah melepaskan gol.

Faktor utama adalah karakter pemain itu sendiri. Majoriti gol bolos kita adalah melalui situasi bola mati. Dalam situasi ini kita lihat pemain sering tiada komunikasi di antara satu sama lain.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment