Masjid Al Wustha pusat aktiviti masyarakat Guar Chempedak
GUAR CHEMPEDAK - Kepelbagaian aktiviti dan fungsi membuatkan Masjid Al Wustha Guar Chempedak sentiasa kelihatan 'hidup'.
Timbalan Pengerusi, Muhamad Ismail berkata, masjid bukanlah sekadar tempat untuk beribadah malah juga berfungsi sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan.
Katanya, Masjid Al Wustha juga berfungsi sebagai pusat pentadbiran di kariah berkenaan.
"Masjid ini sentiasa dikunjungi dan dipenuhi ramai orang, selain daripada solat lima waktu mereka turut datang bagi melibatkan diri dalam aktiviti tertentu," katanya.
Menurut Muhamad, di masjid berkenaan terdapat juga pusat tahfiz yang menempatkan pelajar.
"Pelajar tahfiz akan sentiasa berada di masjid dengan melakukan aktiviti membaca al-Quran sepanjang hari.
"Selain aktiviti membaca al Quran, terdapat juga aktiviti akademik seperti kelas tambahan bagi peperiksaan penting," katanya.
Muhamad berkata, masjid turut mengadakan program sumbangan beras dan barang makanan dengan menggunakan tabung masjid.
"Kita peruntukkan hasil khas tabung masjid untuk sumbangan buat asnaf bagi memastikan mereka tidak terasa tersisih," katanya.
Masjid Al Wustha juga turut menyediakan perkhidmatan pejabat yang mempunyai rangkaian internet bagi membolehkan komuniti setempat menggunakannya.
"Kita lihat sekarang ini banyak perkara memerlukan pendaftaran dalam talian jadi kita sedia ruang untuk mereka yang mahu menggunakan internet atau tidak tahu hadir ke pejabat.
"Kita ada kerani yang sedia membantu mereka yang hadir untuk menggunakan kemudahan berkenaan yang disediakan secara percuma," katanya.
Tambah Muhamad, pengurusan masjid turut menyediakan pakaian terpakai secara percuma di ruangan wakaf pakaian terpakai.
"Mereka yang tidak berkemampuan membeli baju boleh mendapatkannya secara percuma dan mereka yang ingin menyumbang juga boleh meletakkan pakaian berkenaan di ruangan yang disediakan," jelasnya.
Masjid yang boleh memuatkan 1500 jemaah dalam satu masa itu turut mempunyai kuliah pada setiap malam oleh penceramah jemputan.
Muhamad berkata, melalui tabung masjid juga, mereka membantu pelajar untuk menyambung pengajian peringkat tertinggi.
"Anak-anak kariah yang ditimpa musibah seperti banjir, ribut dan sebagainya turut dibantu melalui tabung masjid," katanya
Selain itu masjid turut menyediakan jawatankuasa Hal Ehwal Wanita (Helwa).
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment