Menurut Wani atau nama sebenarnya Nur Syazwani Selamat, teguran yang bersifat membina diterimanya dengan hati terbuka, namun kritikan berbaur negatif akan dijadikan iktibar agar lebih berhati-hati pada masa hadapan.
“Sebagai seorang figura awam, saya harus membiasakan diri untuk menerima segala bentuk teguran meskipun kebanyakannya disampaikan secara kasar dan tidak berhemah.
“Apapun, saya ucapkan terima kasih atas semua teguran itu. Ini bermaksud, mereka mengambil berat tentang saya dengan memberi peringatan sebelum saya lalai dan alpa,” katanya penuh optimis.
Terdahulu, video muzik lagu ciptaan Wani bersama-sama DJ Fuzz dan Hez Hazmi itu mula jadi bualan hangat warganet termasuk ilmuwan agama yang mempertikaikan konsep persembahannya.
Memberi alasan untuk menampilkan kelainan, Wani yang dikenali dengan imej muslimah dilihat ligat menari sambil diiringi barisan penari yang turut bertudung litup, sekali gus bertentangan dengan penampilannya.
“Lagu ini yang berentak rancak secara tidak langsung membuatkan saya terfikir untuk menari di samping mencabar keupayaan sendiri.
“Ini kerana, saya sebelum ini tidak pernah menari,” katanya yang bergandingan dengan Waris dalam lagu tersebut. - UTUSAN ONLINE
sumber: utusan
0 comments:
Post a Comment