Korban dan kemerdekaan
KITA bertuah Ogos tahun ini dua perayaan penuh bermakna disambut pada bulan yang sama, iaitu Hari Raya Korban 1439H dan Hari Kemerdekaan Malaysia kali ke-60. Kita ditakdirkan oleh Sang Pencipta bahawa bulan ini menggabungkan dua nilai, pengorbanan dan kemerdekaan.
Sungguh besar kesannya jika kita benar-benar menghayati kedua-dua nilai itu. Malah ia datang bagaikan membawa mutiara pedoman untuk mengingatkan betapa kita mendambakan nilai yang semakin terhakis iaitu pengorbanan yang murni dan kemerdekaan sejati.
Ibadah korban adalah perintah Ilahi yang unggul sifatnya. Daripada kisah dua insan mulia Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS, kita diajar erti kepatuhan dan pengorbanan. Ketaatan tidak berbelah bagi dan kesanggupan yang tidak berganjak.
Kedua insan ini mempamerkan kemuncak pengabdian dan ketakwaan. Nilai yang menjadi kekuatan yang sangat diperlukan oleh umat masa kini jika mahu keluar dari kemelut yang meruntun.
Inilah nilai yang gagal ditarbiahkan kepada umat hari ini yang tergoda dengan dunia serba fana. Pun teladan yang sepatutnya ditampilkan oleh mereka yang ghairah dipanggil pemimpin, ternyata tidak tersemai sebagai kriteria kepimpinan yang wajar diamalkan. Calon yang menampilkan diri dan memperaga diri untuk dilihat layak dipilih sebagai pemimpin hanya beretorika mengenai pengorbanan.
Pengorbanan boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk: masa, tenaga, nyawa, kepakaran, keselesaan, pangkat, jawatan. Namun terpenting adalah niat yang tersimpan dalam sanubari mereka yang berkorban.
Berlumba bilangan haiwan yang akan dikorbankan sempena Hari Raya Haji bukan matlamat pengorbanan. Mengambil keberkatan berkorban seperti yang disyariatkan mempunyai implikasi yang sangat jauh.
Isyarat ALLAH SWT jelas âDaging-daging dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) ALLAH, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya... â (Al Hajj:37)
Maka perlu dipahat dalam benak setiap yang mahu melaksanakan ibadat korban. Keutamaannya ialah mengapai ketakwaan yang menjadi panduan hidup umat, bukan hanya berlumba untuk menyembelih haiwan korban yang banyak.
Manakala kemerdekaan pula sangat disanjung. Kemerdekaan adalah perjuangan untuk membebaskan diri daripada penguasaan pihak lain, ia juga suatu pengabdian. Hakikatnya ia adalah pengabdian mutlak hanya kepada ALLAH SWT.
Merdeka dianggap kalimat keramat. Perjuangan memerdekakan tanah air adalah perjuangan mulia. Menyahkan penjajah adalah usaha paling disanjung walaupun ada yang menjadi tali barut penjajah. Tanah Melayu yang dijajah oleh empat bangsa: Portugis, Belanda, British dan Jepun, mengharungi period penjajahan selama 446 tahun lamanya.
Rasa perit ditadbir dan dikuasai oleh orang asing dilakarkan dalam pelbagai tulisan sejarah. Penjajah merubah segalanya: bahasa, budaya, sempadan, ekonomi, agama, undang-undang, seni, pentadbiran, pembangunan, landskap desa, tradisi, pakaian. Kita menjadi hamba hampir dalam semua urusan hidup kepada penjajah.
Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957 pada kalender Masihi dan 4 Safar 1377 pada kalender Hijriah. Negara ini seumur dengan Ghana yang merdeka daripada penjajah yang sama, iaitu British, pada 6 Mac 1957. Sehingga kini Malaysia dipimpin oleh 7 perdana menteri, manakala Ghana oleh 15 presiden, 6 daripadanya ialah presiden tentera.
Banyak episod kemerdekaan yang dilalui yang mempamerkan dinamika politik, ekonomi dan sosial yang sangat mencabar. Namun sejarah tercipta satu babak demi satu babak. Tanah Melayu dinodai oleh Portugis selama 130 tahun, Belanda 183 tahun, British 117 tahun, Jepun 4 tahun dan British kembali selama 12 tahun.
Peritnya bangsa Melayu dikotak-katikkan sehingga garis sempadan Tanah Melayu-Siam ditentukan oleh penjajah dalam Perjanjian 1909 antara Siam dan British tanpa restu raja-raja Melayu.
Dalam situasi itulah perjuangan kemerdekaan digerak oleh para agamawan dan nasionalis Melayu. Pahit manis mereka yang melalui ranjau perjuangan dalam keadaan diburu soldadu British, dibunuh oleh komunis Bintang Tiga. Perjuangan kemerdekaan tanah air sememangnya tidak ternilai harganya.
Lantaran itu bila bertemu dua sambutan besar bagi bangsa Melayu Islam pada bulan yang sama iaitu Ogos ini, sangat rugi jika ia tidak dihayati dan digarap seutuhnya. Dua nilai besar ini, kemerdekaan dan pengorbanan bagaikan dua wajah yang saling melengkapi.
Pengorbanan adalah intinya kemerdekaan. Kemerdekaan adalah natijahnya pengorbanan. Tanpa pengorbanan tidak mungkin tercapai kemerdekaan.
Liku-liku perjuangan kemerdekaan dipikul oleh insan-insan yang siap mempertaruhkan diri sebagai ganti untuk memerdekakan tanah air. Tidak tergambar mereka yang terdahulu daripada kita, yang berjiwa merdeka walaupun dipenjara oleh penjajah, mengidamkan keselesaan.
Kebanggaan mereka adalah pada pembebasan tanah air ini. Bukan kepada merebut ghanimah jawatan dan pangkat. Bukan kepada sanjungan dan pingat. Yang mereka impikan ialah tanah air ini dibebaskan. Tanah air ini adalah milik peribumi dan hak anak watan.
Semangat inilah yang nampaknya semakin sirna. Setelah mengecapi kemerdekaan, generasi kini mengidamkan imbuhan, gelaran, pangkat dan kemewahan. Bertarung sama ada antara sesama anggota partai atau antara partai. Melibatkan diri dalam politik akhirnya adalah untuk merebut jawatan.
Mempertahankan kedaulatan tanah air bukan lagi menjadi keutamaan. Masing-masing mendakwa lebih layak dan perlu diberi jawatan. Partai politik hanya menjadi wadah meraih kesempatan melonjak diri.
Lalu timbul sekali lagi persoalan, apakah erti kemerdekaan? Benarkah wujud pengorbanan semurninya? Tanpa pengorbanan, yang pasti kita mendedahkan kembali tanah air ini untuk dijajah semula.
* Penulis ialah Presiden majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment