Sultan Nazrin berangkat ke Pertandingan Akhir Pidato Diraja

Saturday, August 11, 2018

Sultan Nazrin berangkat ke Pertandingan Akhir Pidato Diraja

Sultan Nazrin berangkat ke Pertandingan Akhir Pidato Diraja

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Pertandingan Akhir Pidato Diraja sempena Program Tahunan Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja di Auditorium Perak FM, Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim diiringi Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi.

Program Tahunan Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dikelolakan secara bersama oleh Pejabat Sultan Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Acara-acara dipertandingkan sempena program ini adalah pertandingan Pidato Diraja bahasa Melayu dan bahasa Inggeris; pertandingan menulis esei bahasa Melayu dan bahasa Inggeris; pertandingan mencipta puisi, pertandingan melukis karikatur dan pertandingan melukis poster.

Setiap acara bagi Pidato Diraja dan menulis esei dibahagikan kepada tiga kategori iaitu sekolah rendah, sekolah menengah rendah dan sekolah menengah atas.

Manakala acara selebihnya dibuat secara terbuka.

Berdasarkan statistik penyertaan, pertandingan Pidato Diraja menerima 11,377 penyertaan, pertandingan esei pula sebanyak 34,191, pertandingan mencipta puisi (5,204), pertandingan mencipta karikatur (4,239) dan mencipta poster sebanyak 2,552 penyertaan.

Pada pertandingan akhir Pidato Diraja kategori menengah atas mempertemukan tiga peserta bagi bahasa Melayu iaitu Muhammad Irfan Hamzah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City, Zunnurain Halim dari SMK Raja Lope Nor Rashid, Tanjung Piandang dan Mohd Firas Fathullah Abd Majid dari Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Manjung.

Manakala bagi Pidato Diraja kategori  menengah atas bahasa Inggeris turut mempertemukan tiga peserta iaitu Anwar Azmin dari Kolej Melayu Kuala Kangsar, AN Aum Jeevan dari SMK Toh Indera Wangsa Ahmad dan C Gaiyethry dari SMK Convent Teluk Intan.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment