Seri Setia: Lima nama disebut-sebut sebagai calon
SELEPAS PRK Sungai Kandis melabuhkan tirai, pilihan raya kecil seterusnya yang lebih menarik perhatian tentunya PRK Seri Setia jika dibandingkan dengan Balakong.
Walaupun akan berlangsung pada tarikh sama 8 September depan, tumpuan umum dan pemerhati politik nampaknya lebih terarah kepada kerusi yang menjadi kubu kuat PKR sejak 2008 itu.
Kerusi ini menyaksikan calon PKR bukan hanya menang namun mencatat peningkatan majoriti walaupun ditandingi oleh calon berbeza pada PRU13 dan PRU14 yang lalu.
Jika melihat kepada rekod itu, bukan mustahil PKR akan mengekalkan kemenangan di Seri Setia!
Kubu kuat PKR
Nik Nazmi Nik Ahmad yang mewakili PKR pada PRU12 (2008) menang di kerusi Seri Setia dengan kelebihan 2,863 undi mengalahkan calon BN, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin.
Beliau malah berjaya mempertahankan kerusi Dun itu pada PRU13 (2013) dengan menewaskan calon BN, Datuk Seri Abdul Halim Samad dengan majoriti 4,663 undi.
Nik Nazmi bagaimanapun tidak mempertahankan kerusi itu pada PRU14 sebaliknya berpindah ke Parlimen Setiawangsa.
Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin dicalonkan untuk bertanding di Seri Setia dan beliau memperoleh kemenangan bergaya dengan pertambahan undi majoriti sebanyak 14,709, menewaskan tiga lagi pencabarnya.
Trend keluar mengundi rendah
Seperti PRK Sungai Kandis, kebanyakan pemerhati politik membuat ramalan undi majoriti PKR akan berkurangan berbanding PRU14 berikutan peratusan jumlah keluar mengundi yang dijangka menurun.
Melihat kepada tanggapan itu juga, PKR sudah pastinya akan mengatur strategi tersendiri dalam usaha mengekalkan kemenangan di samping menarik minat pengundi untuk keluar menunaikan kewajipan masing-masing.
Aspek pemilihan calon merupakan antara perancangan yang perlu diteliti bagi memancing minat pengundi.
Lima nama dikait sebagai calon
Menjelang Hari Penamaan Calon, beberapa nama pimpinan PKR mula bertebaran kononnya akan menjadi calon bagi mengisi kekosongan kerusi Dun Seri Setia.
Antara nama yang disebut-sebut adalah bekas Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari, Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Dr Fahmi Ngah, bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Halimey Abu Bakar, Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohd Saifullah Mohd Zulkifli dan bekas penyelaras Dun Kota Damansara, Mohd Radzlan Jalaluddin.
Jika dilihat daripada senarai tersebut, kebanyakan mereka bukanlah orang baharu dalam parti malah turut mempunyai latar belakang kerjaya politik masing-masing.
Ketika dihubungi Sinar Harian, Mohd Radzlan antaranya secara terbuka menyatakan kesediaan beliau untuk bertanding di kerusi itu.
Menurut Mohd Radzlan, sekiranya kepimpinan parti mengeluarkan arahan tersebut, pihaknya akan cuba sedaya upaya untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.
"Nak bertanding ini semuanya atas arahan (parti) malah ia bukannya pilihan. Jadi kalau parti arah saya bersedia untuk menggalas tanggungjawab ini," katanya.
Nama Mohd Razlan juga pernah disebut sebagai calon berpotensi di PRK Sungai Kandis sebelum ini.
Latar belakang beliau sebagai peguam dan bekas penyelaras Dun Kota Damansara dilihat memberi kelebihan buatnya.
Sokongan di media sosial
Bagaimanapun pemerhatian Sinar Harian di media sosial pula mendapati, terdapat banyak sokongan dinyatakan kepada Halimey untuk bertanding di Seri Setia.
Netizen dilihat menggunakan tanda pagar #Halimey4SeriSetia sebagai tanda sokongan terhadap beliau.
Pada PRU14 lalu, nama Halimey disebut-sebut bertanding di Dun sama susulan pengalaman beliau di kawasan tersebut.
Halimey dilihat sebagai individu yang sangat rapat dengan penduduk Seri Setia berikutan bidang tugasnya sebagai Ahli Majlis MBPJ sejak 2016 lagi.
Malah khidmat baktinya di kawasan itu bermula sejak 2008 lagi di mana terdapat beberapa penambahbaikan dan pembangunan yang dilaksanakan hasil usaha beliau termasuk pembinaan Perpustakaan Komuniti selain menyelesaikan beberapa permasalahan penduduk.
Halimey ketika dihubungi Sinar Harian bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan menyerahkan hal berkaitan pencalonan kepada pucuk pimpinan parti.
Pilih yang terbaik
Dengan beberapa perkembangan menarik dalam arena politik tanah air pada masa kini, pastinya pelbagai perancangan dan strategi sedang difikirkan oleh pucuk pimpinan PH khususnya dalam memilih calon mereka di kerusi itu.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sebelum ini berkata, secara prinsipnya kerusi itu akan ditandingi oleh PKR kerana ia adalah kerusi tradisi milik parti itu dan yakin ia akan dipersetujui komponen PH.
Walau siapa pun calon yang dipilih oleh pimpinan PH, individu berkenaan seharusnya bersiap sedia bagi menghadapi lawan yang dijangka lebih hebat kali ini.
Umno yang memberi laluan kepada Pas bertanding di Seri Setia mahu parti Islam itu meletakkan calon yang berwibawa dan boleh memenangkan pembangkang.
Nampaknya pertandingan kali ini lebih sengit!
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment