Kebencian terhadap wanita Muslim di Britain meningkat
LONDON - ENGLAND. Sebuah badan pemantauan terhadap jenayah kebencian di Britain telah mengumumkan bahawa beberapa wanita Islam telah diserang sejak awal minggu ini, selepas bekas Menteri Luar Boris Johnson menulis artikel kontroversi apabila membandingkan wanita memakai burqa sebagai peti surat dan perompak bank.
Tell Mama berkata pada Ahad bahawa sekurang-kurangnya lima wanita telah berdepan penghinaan Islamofobia di London dan Luton sejak Johnson mencetuskan perdebatan awam mengenai pemakaian burqa dalam Daily Telegraph pada 5 Ogos.
Badan pemantau itu mengatakan semua wanita yang telah dihina memakai niqab.
Ia berkata serangan lisan secara langsung dikaitkan dengan keterangan Johnson dalam artikel wanita memakai burqa, sebagai peti surat.
Satu serangan sedemikian berlaku pada 8 Ogos di London sebelum dua wanita disasarkan keesokan harinya di ibu negara.
Seorang lagi wanita mengalami penderaan lisan kerana memakai niqab pada hari Jumaat sementara terdapat satu lagi kejadian pada 9 Ogos di Luton, sebuah bandar sekitar 50 kilometer dari London.
Salah seorang mangsa berkata dia telah dipanggil peti surat ketika menaiki kereta api di kawasan kejiranan Tower Hamlets di London.
Johnson enggan memohon maaf di atas kenyataan negatifnya terhadap pemakaian burka.
Johnson dalam kenyataannya berkata, pemakaian burka tidak wajar diharamkan tetapi ia kelihatan teruk.
Pengerusi Parti Konservatif telah menuntut Johnson memohon maaf, malah Perdana Menteri Britain, Theresa May berkata, kenyataan Johnson itu jelas satu kesalahan.
Sumber yang rapat berkata, Johnson enggan memohon maaf kerana berpendapat adalah tidak masuk akal untuk menyerang pandangannya.
Kenyataan Johnson mendapat kritikan daripada beberapa kumpulan Islam, ahli-ahli Parlimen dan parti pembangkang.
Pengasas Forum Muslim Konservatif berkata, kenyataan itu boleh menjejaskan hubungan komuniti.
Pengerusi Parti Konservatif, Brandon Lewis bersetuju dengan Menteri Pejabat Luar, Alistair Burt yang berkata, kenyataan Johnson merupakan satu kesalahan dan mahu bekas Datuk Bandar London itu memohon maaf. - Press TV
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment