Selesaikan segera isu bayar balik GST
MELAKA TENGAH - Kementerian Kewangan perlu mencari jalan bagi menyelesaikan masalah pembayaran balik GST dengan segera sebelum SST diperkenalkan bulan hadapan.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong meminta pihak polis, SPRM serta Jabatan Peguam menjalankan siasatan dengan segera dan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab.
Menurutnya, kegagalan membuat pembayaran balik kutipan GST ini telah menyebabkan peniaga rugi akibat aliran kewangan.
Ini sekali gus, menurutnya, menyebabkan ramai daripada mereka terpaksa menaikkan harga barangan selain ada sebilangan yang terpaksa tutup kedai.
"Perkara ini sangat serius dan merupakan pecah amanah oleh kerajaan lama kerana wang pembayaran balik bukan milik mereka.
"Ia hanya dipegang secara sementara oleh kerajaan dan perlu dikembalikan kepada peniaga," katanya semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy, mengenai isu pembayaran balik GST dan Tabung Amanah.
Dalam kenyataan berkenaan, beliau mengesahkan bahawa wang rakyat dan peniaga-peniaga ini telah disalahgunakan, sebagaimana didedahkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen minggu lalu.
Ujar Poay Tiong, kenyataan Menteri Kewangan serta pihak Kastam ini menunjukkan betapa seriusnya isu terbabit.
Katanya, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar, harus tampil memberikan penjelasan mengapa beliau tidak meluluskan permohonan pembayaran balik berkenaan.
"Beliau perlu menyatakan sama ada keengganan atau tindakan melambatkan pembayaran balik ini merupakan arahan daripada bekas Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.
"Saya sendiri boleh sahkan permasalahan yang dihadapi peniaga kerana selama ini saya sendiri banyak menerima aduan daripada mereka, di mana ada sebilangan mereka yang telah menunggu lebih dua tahun untuk mendapatkan pembayaran balik ini," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment