Brother motor digempur polis

Sunday, August 12, 2018

Brother motor digempur polis

Brother motor digempur polis

SEGAMAT - Sebanyak 16 motosikal disita Bahagian Sia­satan Penguat­kuasaan ­Trafik BSPT Ibu Pejabat Polis (IPD) Segamat di atas pelbagai kesalahan dalam Op Khas Samseng Jalanan di daerah ini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Segamat, Suprintendan Raub Selamat berkata, operasi yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu turut memeriksa 98 kenderaan selain 48 saman trafik dan 13 notis JPJ dikeluar­kan atas pelbagai kesala­han jalan raya,

"Pelaksanaan operasi secara berterusan bertujuan memastikan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal di daerah ini lebih berdisiplin dan berhemah serta mampu mempamerkan persepsi baik terhadap imej mereka.

"Selain itu, operasi sebegini juga dilihat mampu mendidik brother motor supaya lebih menghormati pengguna jalan raya dan tidak menjadikan jalan raya sebagai litar lumba selari dengan matlamat PDRM Care Johor yang dicetuskan ketua polis negeri," katanya.

Menurutnya, kebanyakan kes kemalangan jalan raya melibatkan golongan muda juga disebabkan sikap yang terlalu berani menunggang motosikal dan memandu kenderaan mengikut pera­saan.

Katanya, Ops Khas Sam­seng Jalanan yang dijalankan secara berterusan juga telah berjaya menurunkan kadar kemalangan membabitkan penunggang motosikal dan aktiviti jalanan di daerah Segamat ketika ini.

“Secara tidak langsung, penu­runan ka­dar kema­langan dan aktiviti sam­seng jalanan ini turut mening­katkan keselesaan dan ketenteraman dalam kalang­an orang ramai dan pengguna jalan raya yang selama ini sering diganggu oleh brother motor ini.

“Kami akan menja­lan­kan operasi ini secara berterusan bagi memastikan pelbagai aktiviti tidak sihat khususnya yang melibatkan penung­gang motosikal golongan muda dapat dibanteras,” katanya.

Menurutnya, di antara kesalahan yang dilakukan adalah menunggang tanpa lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai ekzos serta enjin dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Raub berkata, selepas ini pihaknya akan bertindak lebih tegas terhadap penunggang motosikal yang menunggang di atas jalan raya dengan melulu dan boleh membahayakan orang awam atau penunggang jalan raya yang lain.

Pada masa sama, beliau mengingatkan ibu bapa dan penjaga agar memantau kegiatan dan aktiviti anak remaja mereka agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan rempit sebelum ditahan dan diambil tindakan oleh pihak polis.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment