Saksi kemalangan diminta tampil
KUALA LUMPUR - Saksi bagi kejadian kemalangan melibatkan dua buah motosikal di Jalan Sentul dalam kejadian petang Rabu lalu diminta tampil bagi membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, salah seorang mangsa terlibat meninggal dunia di unit neurologi pagi semalam.
Menurutnya, dalam kejadian jam 4 petang Rabu itu, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha LC telah bergesel dengan sebuah lagi motosikal yang tidak dapat dikenal pasti.
"Kemalangan di Jalan Sentul arah ke Pasar Sentul. Siasatan awal di lokasi kejadian yang dilakukan oleh pegawai penyiasat mendapati kemalangan berpunca akibat bergesel sesama sendiri dan mangsa telah rebah atas jalan.
"Akibat dari kemalangan tersebut, mangsa, Malputra Amirudin, 33, dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) namun seorang lagi penunggang yang terlibat telah melarikan diri selepas itu," katanya.
Tambah beliau, sehingga kini tiada saksi yang tampil berhubung kejadian itu.
"Mangsa telah meninggal dunia di unit neurologi sewaktu terima rawatan. Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment