Bantah lantikan Pengerusi MSN

Friday, August 10, 2018

Bantah lantikan Pengerusi MSN

Bantah lantikan Pengerusi MSN

KOTA BHARU - Beberapa pimpinan akar umbi PH negeri melahirkan kebimbangan dengan keputusan Kementerian Belia dan Sukan yang berhasrat menamakan Exco Kerajaan Kelantan sebagai Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan.

Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Sukirman Mustafa berkata, keputusan itu dianggap tidak tepat memandangkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sendiri yang menyatakan bahawa beliau tidak mahu agensi itu dijadikan medan untuk berpolitik.

"Sekiranya benar Exco Kerajaan Kelantan dilantik, maka sudah pasti ia berkait dengan politik, apa lagi ia datang daripada exco dari negeri pembangkang.

"Sekiranya betul-betul tidak mahu agensi ini dijadikan medan berpolitik, lantik terus profesional," katanya kepada  Sinar Harian.

Terdahulu dalam satu kenyataan, Syed Saddiq memutuskan untuk mengaktifkan semula Lembaga Majlis Sukan Negara (MSN) di peringkat pusat sebagai langkah bagi memastikan tidak berlakunya pemusatan kuasa.

Sekiranya benar berlaku, buat pertama kali pimpinan daripada kerajaan Pas Kelantan diberi peranan mengetuai agensi itu setelah hampir 30 tahun memerintah Kelantan.

Beliau berkata, dengan langkah tersebut segala proses pembangunan belia dan sukan di setiap negeri dapat dilakukan seiring tanpa mengambil kira fahaman politik.

Sukirman berkata, beliau mahu Kerajaan Persekutuan membuat pertimbangkan kembali keputusan yang dianggap tidak memberi kelebihan kepada PH itu sendiri.

"Kita tahu badan ini sangat penting kerana ia berkait dengan belia, MSN juga memiliki aset-aset sukan yang penting kepada beliau. Sudah pasti sekiranya pelantikan di luar dari PH, ini akan menguntungkan pihak lawan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Kelantan, Muhammad Ariff Bashiruddin Muhammad Rusli menyifatkan tindakan tidak sepatutnya berlaku walaupun niat untuk mengaktifkan akta yang berkait dengan pelantikan jawatan itu.

"Ia seperti memberi harta kepada adik tiri, adik beradik sendiri tidak merasa apa-apa walaupun berhak," katanya

Beliau berkata, walaupun Kerajaan Kelantan akan mengatakan mereka akan bertindak adil dengan semua pihak, tetapi sejarah membuktikan sepanjang 28 tahun memerintah, diskriminasi berlaku.

"Apa yang jelas, mereka  dakwa mengamalkan politik matang, tetapi sebaliknya berlaku," katanya.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment