Rebah ketika daki Gunung Ledang

Saturday, August 11, 2018

Rebah ketika daki Gunung Ledang

Rebah ketika daki Gunung Ledang

TANGKAK- Seorang guru meninggal dunia akibat komplikasi jantung ketika sedang mendaki Gunung Ledang di sini, petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohad Idris Samsuri berkata, guru subjek sukan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Sulaiman Ninam Shah, Muar itu dilaporkan rebah sewaktu berada pada ketinggian 675 meter dari paras laut iaitu di antara checkpoint tiga dan empat gunung berkenaan.

Menurut beliau, mangsa, Anuar Abu Bakar, 49, dilaporkan mendaki Gunung Ledang itu bagi menyertai ekspedisi pendakian anjuran sekolahnya bersama-sama 12 pelajar.

“Mangsa bersama 12 pelajar sampai di kaki gunung pada hari Jumaat dan bermalam selama sehari sebelum memulakan pendakian itu pada hari semalam jam 8.30 pagi.

“Bagaimanapun, ketika berada di pertengahan gunung, mangsa dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri sebelum para petugas di gunung kemudiannya menghubungi polis pada jam 2.19 petang,” katanya.

Mohad Idris berkata, mangsa dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan berdasarkan laporan dia disahkan meninggal dunia akibat saluran jantung tersumbat.

“Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Pasir, Muar malam tadi.

"Dan berdasarkan maklumat awal, mangsa pertama kali mendaki Gunung Ledang selepas lapan tahun bertugas di sekolah itu.

“Namun pelajar mendakwa arwah gurunya merupakan individu aktif apabila pernah mendaki Gunung Kinabalu termasuk menyertai pelbagai lagi aktiviti sukan,“ katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Bakarya Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.19 tengahari sebelum dia bersama enam anggotanya pergi ke tempat kejadian.

“Bomba tiba di checkpoint berkenaan pada jam 2.20 petang dan membuat persiapan membawa turun mangsa ke kaki gunung.

“Mangsa kemudian berjaya dibawa turun tiga jam kemudian iaitu sekitar jam 5.30 petang sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 5.56 petang,” katanya.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment