Pasar Besar Gombak tinggal kenangan

Thursday, August 9, 2018

Pasar Besar Gombak tinggal kenangan

Pasar Besar Gombak tinggal kenangan

GOMBAK - Mercu tanda ikonik, Pasar Besar Gombak yang pernah menjadi pusat tumpuan penduduk sekitarnya suatu ketika dahulu mula dirobohkan Isnin lalu.

Pembangunan semula Pasar Besar Gombak dengan konsep serba moden dan dilengkapi pelbagai kemudahan bakal mengubah landskap bangunan berusia lebih 30 tahun itu.

Pasar dua tingkat yang menempatkan ruang niaga kedai serbaguna perkhidmatan dan pasar basah serta klinik kesihatan yang dibuka tahun 80-an itu cukup ber­mak­na dalam kalangan masyarakat setempat dan peniaga.

Kerja-kerja perobohan itu juga bakal memberi wajah baharu di mana lokasi tersebut akan dihidupkan dengan pembangunan bangunan komersial setinggi sem­bilan tingkat dengan penempatan kedai, lot perniagaan, pejabat Dewan Ban­daraya Kuala Lumpur (DBKL), pejabat kesihatan, surau dan dewan serba guna.

Keputusan perobohan itu dianggap langkah tepat susulan kele­suan perniagaan di kawasan menempatkan kira-kira 300 peniaga itu.

Pembangunan di situ juga akan ditambah nilai dengan pembinaan satu blok kediaman Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Ruma­wip) ketinggian 44 tingkat.

Projek sebagai memenuhi keperluan penempatan warga kota bagi kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Jangan abai peniaga

Anak jati Gombak, Fazlekha Md Ghazali,34 berkata, kerancakan pembangunan dan kepesatan pusat beli-belah serta pasar raya menyebabkan Pasar Besar Gombak bukan lagi pilihan.

“Dahulu kawasan ini sangat popular untuk orang datang pergi ke klinik dan juga membeli bantal kekabu, tapi kebelakangan ini keadaannya suram dan menjejaskan pendapatan peniaga.

“Sebelum ini ada Maybank jumlah pengunjung ramai tapi selepas pindah kawasan ini lengang malah pembukaan kedai 1Malaysia juga gagal menarik pengunjung,” katanya.

Dia berharap, nasib peniaga tidak diabaikan dan diberikan pembelaan sewajarnya.

“Memang sedih tapi kalau perobohan ini dapat membantu peniaga berpindah ke lokasi lebih baik itu adalah tindakan wajar bagi membantu mereka.

“Daripada berterusan melihat kawasan ini mati lebih baik dibangun­kan untuk kemudahan lebih bermanfaat. Lepas ini tiada lagi petanda arah Pasar Besar Gombak buat kenalan yang mahu ke rumah saya,” katanya.

Penduduk, Mohd Mazri Mat Isa, 35 menyokong perobohan itu disebabkan kurang sambutan oleh pengguna namun berharap projek yang dijalankan tidak memberikan kesan kepada penduduk setempat.

“Perkara yang perlu diberikan perhatian termasuk tambah baik infrastruktur khususnya pelebaran jalan kerana siapnya projek peru­mahan dalam tempoh tiga tahun akan menyebabkan tam­bahan kenderaan di jalan utama di sini,” katanya.

Peniaga barangan runcit, Abdul Wahab Harun, 60 berkata, dia ditawarkan pampasan RM14,000 selepas mengambil keputusan menyerahkan kedai yang menjadi tempat mata pencariannya sejak 1986.

“Pasar Besar Gombak ini menem­patkan peniaga dari Pasar Kuala Lumpur yang dipindahkan di sini selain dua lagi pasar iaitu Taman Tun Dr Ismail dan Cheras.

“Saya serah kedai kerana sudah tua dan jika berpindah memerlukan kos dan tenaga jadi saya ambil keputusan untuk pencen berniaga dan kini menumpukan perhatian untuk ibadah.

Katanya, walaupun sudah mempunyai tanggungan dan anak-anak sudah bekerja namun perobohan bangunan itu mem­berikan kesan dalam hidupnya.

“Perasaan saya pastinya sedih dan kecewa kerana punca rezeki saya ibarat diletak pasir. Kadar sewa di sini murah dan tidak membe­bankan setahun RM360 sahaja jika tempat lain sudah tiada harga seperti itu.

“Pampasan peniaga tidak sama kerana dibahagikan mengikut kategori dan rundingan itu berlang­sung sel­ama enam bulan. Peniaga tidak diberikan kawasan perniagaan sementara pandai-pan­dai nak hidup selepas ini,” katanya.

Belum terima pampasan

Sementara itu, wakil peniaga, Mazlan Chik berkata, rata-rata peniaga kecewa kerana kerja pero­bohan tersebut dilakukan sewaktu keputusan rundingan belum dipenuhi.

“Ikut perbincangan bersama wakil DBKL, pemaju dan Menteri KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Zuraida Kamaruddin Jun lalu, sepatutnya pampasan dibayar pada 10 Julai, tarikh terakhir arahan pengosongan kedai ditetapkan tapi sehingga kini bayaran tersebut belum diterima.

“Kami pindah sehelai seping­gang tanpa diberikan sebarang kos pemindahan dan barang-barang niaga diletakkan di rumah. Tiada pembayaran dibuat selepas pelan­tikan Menteri Wilayah Persekutuan apabila rundingan dianggap tidak sah dan perlu dikaji semula,” katanya.

Jelasnya, peniaga juga terkilan dengan perkembangan itu kerana nasib mereka terabai dan menanggung kerugian kesan pembangunan itu.

“Mata pencarian saya hilang dan kini bergantung kepada servis pembaikan mesin jahit dari rumah ke rumah sahaja.

“Saya berharap kata sepakat yang dicapai sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment