Pas teruskan projek 'membazir' kerajaan BN

Thursday, August 9, 2018

Pas teruskan projek 'membazir' kerajaan BN

Pas teruskan projek 'membazir' kerajaan BN

MARANG - Kerajaan Pas Terengganu akan meneruskan projek pelancongan kerajaan terdahulu yang pernah didakwa parti itu sebagai membazir kerana menelan belanja besar termasuk zon bebas cukai di Tasik Kenyir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, ada beberapa isu yang dilihat berlakunya pembaziran pernah ditimbulkan Pas sebelum menjadi kerajaan.

Menurutnya, apabila peralihan kuasa berlaku, Pas melihat projek-projek perlancongan antaranya Taman Tamadun Islam perlu diteruskan memandangkan ia telah siap dibina melalui peruntukan yang agak besar.

"Mereka telah membina Taman Tamadun Islam dengan jumlah kosnya lebih RM240 juta... Jadi dengan perbelanjaan besar tidak bijaklah kerajaan negeri untuk menutup Taman Tamadun Islam.

"Di atas konsep kita mahu menjadikan Terengganu sebagai destinasi Mesra Muslim, Taman Tamadun Islam adalah tempat terbaik untuk kita jadikan hab pelancongan muslim, kita akan teruskan," katanya.

Bagi projek zon bebas Tasik Kenyir, katanya, pihak kerajaan negeri sedang menilai semula adakah ia akan diteruskan atau dihentikan memandangkan jumlah kos pembinaannya menelan belanja ratusan juta.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan menghentikan pembinaan sedang berjalan sebaliknya menyiapkannya terlebih dahulu sebelum penilaian semula dibuat bergantung kepada kemudahan disediakan.

"Contohnya, Pulau Bayas (di Tasik Kenyir), kerajaan telah menghabiskan ratusan juta....Pembinaan di Pulau Bayas sekarang ini sudah dalam 70 peratus siap dari segi pembinaan dan tinggal lagi 30 peratus.

"Adakah bijak kalau kita tinggalkan sahaja terbiar projek ratusan juta dengan tinggal sekitar dalam RM60 juta lagi pembangunan Pulau Bayas untuk diselesaikan? Apabila siap kita akan nilaikan semula," katanya.

Kerajaan negeri akan menilai semua sama ada untuk  meneruskannya sebagai pulau bebas cukai atau membuat projek baharu bersesuaian dengan suasana, keadaan dan nilai telah dibelanjakan itu.

Beliau juga melawat ke Zoo Kemaman di Bukit Takar sebelum ini, bagi meninjau pembangunan terbaharu zoo berkenaan dan mendapati pembinaan fasa kedua tinggal hanya lima peratus untuk diselesaikan.

Beliau berkata, banyak haiwan 'rare' ditempatkan di zoo berkenaan dan kerja kerja pemindahan haiwan dari Zoo Melaka secara percuma turut dilakukan bagi memastikan lebih banyak haiwan dapat dipamerkan.

"Pada kita, kita tidak akan tutup Zoo Kemaman ini cuma kita akan bincang bagaimana kita hendak uruskan. Sekarang ini Pejabat Daerah Kemaman, Majlis Daerah Kemaman uruskan dengan belanja besar.

"Jadi kerajaan negeri akan bantu mereka, macam mana kita hendak selesaikan dari segi perbelanjaan mengurus dan macam mana pastikan pengunjung pengunjung akan hadir (melawat)," katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri akan terus menilai perkembangan zoo berkenaan dari masa ke masa bagi memastikan kemudahan itu menjadi tarikan kepada pengunjung dan memberi manfaat kepada rakyat.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment