Pas sambut baik jawatankuasa nilai 14 agensi Islam

Wednesday, August 29, 2018

Pas sambut baik jawatankuasa nilai 14 agensi Islam

Pas sambut baik jawatankuasa nilai 14 agensi Islam

PETALING JAYA - Pas menyambut baik  usaha kerajaan mewujudkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam bagi menilai 14 agensi Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, pihaknya menyokong perkara yang baik namun pelaksanaan tersebut diharap dapat memberi impak positif khususnya kepada masyarakat Islam di negara ini.

" Kita tidak mahu apabila wujud jawatankuasa ini, ia akan memberi impak negatif.

"Harapan kita (jawatankuasa ini) dapat memberi kesan positif dalam memperkasakan beberapa perkara serta isu melibatkan urusan tentang Islam dan kedudukannya," katanya.

Idris berkata demikian sewaktu turun padang bersama-sama calon Pas, Dr Halimah Ali bagi melawat Pusat Media PRK Dun Seri Setia di Bangunan Tabung Haji, Kelana Jaya.

Julai lalu, Raja-raja Melayu dilaporkan berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan dalam usaha menambah baik semua institusi Islam peringkat Persekutuan di negara ini.

Sebelum ini juga, Timbalan Menteri di JPM, Fuziah Salleh memaklumkan bahawa jawatankuasa itu akan menilai 14 agensi Islam di bawah JPM termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meliputi peranan, keberkesanan dan segala yang berkaitan pentadbiran hal ehwal Islam.

Selain itu, sebelum ini terdapat beberapa pihak menggesa Jakim dibubarkan selepas mendakwa agensi itu mencampuri urusan agama di negeri-negeri.

Mengulas mengenai perkara itu, Idris berkata, sekiranya jawatankuasa tersebut ditubuhkan atas dasar pembubaran Jakim, beliau berkata pihaknya tidak bersetuju dengan langkah tersebut.

"Sepatutnya kita tidak ke belakang tapi ke depan lagi. Kalau ada kelemahan kita baiki, bukan buang benda itu.

"Ia hanya akan timbulkan (perasan) tak selesa dalam kalangan orang Islam," katanya.

Tambah beliau, perkara ini perlu diberikan perhatian sewajarnya berikutan isu agama merupakan sesuatu yang sensetif di negara ini.

"(Ini) sebabnya kerana orang Melayu boleh hilang tanah, hilang wang ringgit tapi (mereka) tak boleh hilang agama," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment