Najib perlu tunjuk bukti GST tak dirompak: Tun M

Sunday, August 12, 2018

Najib perlu tunjuk bukti GST tak dirompak: Tun M

Najib perlu tunjuk bukti GST tak dirompak: Tun M

SERDANG - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dicabar mengemukakan bukti sekali gus menafikan dakwaan yang mengatakan wang kutip cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM18 bilion dirompak.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bukan hanya Najib, individu lain yang mempunyai bukti itu juga boleh melakukan perkara serupa.

Ini kerana menurut Dr Mahathir, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sudah mengesahkan wang tersebut hilang daripada akaun Akaun Amanah Bayaran Balik GST.

“Lim Guan Eng cakap hilang, Najib kata tidak hilang.

“Kalau tidak hilang, Najib mesti tunjukkan kepada kita ke mana pergi duit itu,” katanya selepas ditemui di Pameran Lukisan’ Tun M Forever a Legacy’ di Universiti Perdana hari ini.

Selepas dituduh wang kutipan GST dirombak, Najib menyelar kenyataan Guan Eng yang dilihat sekali lagi memberikan kenyataan politik tidak benar selain tidak berasas.

Katanya, apa yang mungkin terjadi ialah, apabila kerajaan PH mensifarkan GST pada 1 Jun lalu, peniaga boleh menuntut kesemua cukai input GST serta merta sehingga menyebabkan semua peniaga meluru membuat tuntutan cukai input GST, sama ada mereka membuat jualan atau sebaliknya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rompak GST: Alasan PH tak laksana janji manifesto]

[ARTIKEL BERKAITAN: Apa bukti tuduh PH belanja RM18 bilion?]

Guan Eng bagaimanapun menyanggah dakwaan Najib sambil menjelaskan sebab sebenar penangguhan besar dilakukan kerajaan Persekutuan sebelum ini dalam membuat bayaran balik GST dan sebahagian daripadanya ditangguh sehingga tiga tahun, menunjukkan kegagalan besar pentadbiran itu dalam memindahkan RM18 bilion ke Akaun Amanah Bayaran Balik GST.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, pada ketika ini negara kekurangan wang dan itu merupakan fakta yang tidak boleh dinafikan.

Katanya, kerajaan juga tidak boleh memberikan wang sesuka hati kepada rakyat seperti yang dilakukan kerajaan terdahulu.

“Banyak wang pergi ke arah penyelenggaraan pinjaman yang diambil oleh pentadbiran terdahulu.

“Kami tidak mencuri duit seperti yang dilakukan oleh Najib. Rakyat mengharapkan kita memberi wang kepada mereka kerana ini adalah kebiasaan yang dilakukan oleh Najib, apabila dia (Najib) memberikan wang kepada rakyat secara bebas dan sekarang rakyat menjangkakan kita memberi wang kepada mereka dengan bebas,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment