Lagi laporan polis terhadap Kula Segaran, Guan Eng

Friday, August 10, 2018

Lagi laporan polis terhadap Kula Segaran, Guan Eng

Lagi laporan polis terhadap Kula Segaran, Guan Eng

SELAMA - Desakan masyarakat  Melayu menuntut Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran meletakkan jawatan susulan mengeluarkan kenyataan orang Melayu adalah pendatang kini semakin diperhebat.

Terbaharu, lebih 100 masyarakat Melayu Parlimen Larut mengadakan demonstrasi aman melalui program Himpunan Umat Melayu di hadapan bangunan Umno Bahagian Larut, di sini bagi mengecam kenyataan Kula Segaran yang dianggap 'melampau' dan mencabar maruah kaum itu.

Selain itu, dua laporan polis turut dibuat penganjur program dan kepimpinan Umno Bahagian Larut terhadap Kula Segaran dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Balai Polis Selama, pagi ini atas dua kes berasingan termasuk isu kenyataan kontroversi pemimpin DAP itu.

Koordinator program, Mohd Anuar Ariffin berkata, kenyataan Kula Segaran yang turut mendakwa penduduk asal Tanah Melayu ialah penganut Hindu baru-baru ini juga dianggap tidak tepat dan cuba memutarbelitkan fakta diperakui tokoh sejarah tempatan termasuk cendikiawan berbangsa Cina.

Menurutnya, kenyataan tersebut menjurus kepada unsur menghasut dan menimbulkan ketegangan kaum sekali gus mengakibatkan ketidakstabilan dari aspek keselamatan.

"Siasatan dan tindakan segera perlu diambil dengan segera oleh kerajaan Harapan diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Ahli Parlimen Ipoh Barat itu yang kami anggap tidak layak lagi berada dalam senarai Kabinet.

"Kita juga mendesak Kula Segaran meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Manusia kerana kenyataan beliau memberi sentimen tidak baik.

"Kenyataan beliau ternyata mengguris perasaan penduduk Parlimen Larut yang majoriti berbangsa Melayu dan sekiranya tuntutan kami tidak dilayan, pelbagai siri himpunan membabit ribuan orang Melayu Larut akan dilaksanakan," katanya ketika ditemui media pada program Himpunan Umat Melayu Larut yang turut disertai enam NGO Melayu di hadapan bangunan Umno Bahagian Larut, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Umno Bahagian Larut, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.

Sebelum ini, Naib Pengerusi DAP itu telah memohon maaf susulan kontroversi berhubung dakwaan beliau menyifatkan orang Melayu sebagai pendatang hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Amin menegaskan satu laporan polis turut dibuat ke atas Guan Eng berhubung dakwaan RM18 bilion wang tuntutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang sepatutnya dibayar balik kepada peniaga, ‘dirompak’ oleh kerajaan BN.

Menurutnya, dakwaan itu adalah berniat jahat dan cuba hendak meletakkan segala kesalahan dan kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Harapan ketika ini pada bahu kerajaan terdahulu.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment