Lebih buruk daripada sangkaan

Friday, August 10, 2018

Lebih buruk daripada sangkaan

Lebih buruk daripada sangkaan

PASIR PUTEH - Yayasan Amal Malaysia melancarkan misi kemanusiaan kelmarin bagi membantu mangsa gempa bumi di Lombok, Indonesia.

Ketua Setiausahanya, Nasrun Amir Abdullah berkata, beliau mengetuai misi pertama ke Lombok bersama tiga lagi sukarelawan bagi membantu misi menyelamat, merawat dan membekal makanan serta barangan.

Menurutnya, setibanya di sana kelmarin, keadaan lebih buruk daripada yang mereka bayangkan.

"Kacamatan Kayangan, Kabupaten Lombok Utara paling teruk dengan seluruh masjid hancur, tidak dapat digunakan untuk beribadat. Seramai 20,000 mangsa terpaksa tinggal di dalam khemah, takut berada di dalam rumah kerana gempa mungkin berulang.

"Seramai 280 daripada 391 mangsa yang meninggal dunia adalah dari Lombok Utara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Ahad lalu, Lombok mengalami gempa bumi 6.9 magnitud dan kembali bergegar dengan gempa berukuran 5.9 magnitud, Khamis lalu.

Nasrun berkata, salah seorang relawan yang menyertai misi empat hari itu adalah Dr Mahayudin Abd Rahman dari Kedah.

Menurutnya, kebanyakan mangsa mengalami kecederaan ditimpa runtuhan rumah yang memerlukan rawatan sewajarnya bersama Persatuan Bulan Sabit Indonesia Cabang Bima.

"Kita bukan sahaja membantu merawat mangsa malah kita juga menyampaikan sumbangan selimut, ubat-ubatan, derma kepada masjid terjejas dan pakaian bayi yang bernilai RM10,000," katanya.

Beliau yang merupakan jati Pasir Puteh yang menjayakan misi kemanusiaan di 24 negara di seluruh dunia setakat ini berkata, misi pertama di Lombok akan berakhir Isnin ini.

Bagaimanapun katanya, misi Yayasan Amal Malaysia di Lombok tidak terhenti setakat itu kerana pihaknya merancang misi kedua dalam waktu terdekat.

"Saya berharap rakyat Malaysia terus prihatin membantu mangsa musibah di seluruh dunia sama ada melalui yayasan ini atau pihak lain," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment