Dasar pengambilan pekerja asing Selasa depan
IPOH - Kerajaan akan mengumumkan dasar baharu mengenai pengambilan pekerja asing di negara ini, Selasa depan, kata Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.
Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata, dasar yang lebih sistematik dirangka bagi memastikan pengambilan pekerja asing selaras keperluan tenaga kerja dalam pasaran di samping menjamin ketelusan proses pengambilan pekerja asing ke negara ini mengikut prosedur.
"Kami mahu dasar yang bersistematik dalam membawa masuk pekerja asing sebab sasaran kami tidak boleh lebih daripada 15 peratus pekerja asing dengan pekerja tempatan yang bekerja di negara ini," katanya selepas merasmikan Program Kayuhan Basikal 'Ride With The Boss' anjuran Ipoh City Watch dan Koperasi Alam Hijau Perak Bhd (Kohijau) di sini hari ini.
Selain itu, Kula Segaran berkata, pihaknya dan Kementerian Dalam Negeri akan mengadakan mesyuarat mengenai pengambilan pekerja asing dengan dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini memangku tugas Menteri Dalam Negeri.
"Mesyuarat itu akan membincangkan keperluan negara untuk mengambil pekerja asing, apakah asasnya dan di mana perlunya (mengambil pekerja asing) dan ada beberapa sekatan yang kita akan cadangkan," katanya. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment